Utusan Borneo (Sarawak)

Serie A: Dua gol Defrel berikan Ancelotti kekalahan sulung

-

MILAN, Itali: Carlo Ancelotti mengalami kekalahan pertama sebagai jurulatih Napoli apabila dua gol Gregoire Defrel membantu Sampdoria mencipta kemenangan 3-0 ke atas naib juara Serie A Itali itu Ahad lepas.

Napoli gagal mengulangi kebangkita­n ketika menewaskan Lazio dan AC Milan pada dua perlawanan pertama mereka musim ini dan memberikan kelebihan awal buat pendahulu liga, Juventus.

Ancelotti memilih skuad cubaan untuk perlawanan ketiganya, dengan tiga penyerang, Marek Hamsik, Jose Callejon dan Dries Mertens bermula di bangku simpanan dan Simone Verdi membuat penampilan sulung bersama kelab.

“Kami mempunyai perlumbaan yang sama selepas dua perlawanan tetapi kali ini, kami tidak berjaya mengubahny­a,” kata Ancelotti. “Kami sekali lagi memberikan mereka peluang (gol) dalam separuh masa pertama apabila mempamerka­n sikap yang buruk, terutama sekali dengan gol pertama. Kami ketinggala­n 0- 1, bermain dengan cemas dan mula bergelut mencari rentak.”

Sampdoria bermain perlawanan pertama mereka di tempat sendiri sejak bencana runtuhan jambatan di Genoa yang meragut 43 nyawa.

Dan mereka memulakan permainan dengan bergaya apabila hantaran Fabio Quagliarel­la kepada Ricardo Saponara disempurna­kan Defrel seawal minit ke-11.

Defrel menambah jaringan pada minit ke- 32 sebelum Quagliarel­la melengkapk­an jaringan pada minit ke-75.

Kekalahan bermakna Napoli mula ketinggala­n di belakang Juventus, yang menewaskan Parma 2-1 pada perlawanan hari Sabtu.

Ia juga memberikan sebab kepada Ancelotti untuk berasa bimbang menjelang perlawanan penting Liga Juara- Juara menentang Paris Saint Germain (PSG) dan Liverpool.

“Saya tidak fikir kami perlu mengubah terlalu banyak, kami hanya bermain tiga perlawanan tetapi fokus kami kurang. Ia sesuatu yang tidak dapat diterima dan kami tidak mampu terus mengulangi­nya,” kata Ancelotti sambil menambah beliau tidak kesal dengan keputusann­ya meletakkan Hamsik dan Callejon di bangku simpanan.

Juventus berada di tangga teratas liga dengan sembilan mata maksima selepas tiga perlawanan.

Pencabar lain, AS Roma – di tangga ketiga liga musim lepas – juga kehilangan mata apabila tewas 1-2 kepada AC Milan pada perlawanan hari Jumaat.

Roma mengumpul empat mata dari tiga perlawanan, sama seperti Inter Milan yang menewaskan Bologna 3-0 untuk kemenangan pertama mereka musim ini.

Fiorentina – dengan kurang satu perlawanan – mengutip enam mata maksima selepas dua perlawanan setelah menewaskan Udinese 1- 0. Mereka menewaskan Chievo 6- 1 pada perlawanan pertama.

Pada perlawanan lain, Torino mencipta kemenangan pertama musim ini apabila menewaskan SPAL 1-0 menerusi gol Nicolas Nkoulou. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia