Utusan Borneo (Sarawak)

Pingat perak mampu bersih nama Wendy

-

SEPANG: Kejayaan meraih pingat perak pada Sukan Asia Jakarta- Palembang 2018 mampu membersih nama atlet terjun negara, Ng Yan Yee daripada isu doping.

Katanya, pingat perak yang dimenangin­ya dalam acara 3m papan anjal seirama berganding­an dengan Nur Dhabitah Sabri merupakan satu kepuasan dan membuktika­n beliau masih mampu menyumbang sesuatu buat skuad terjun negara.

Kejayaan itu juga mengulangi pencapaian pingat perak diraih Yan Yee dalam acara itu ketika beraksi pada edisi 2010 bersama Leong Mun Yee dan edisi 2014 dengan Cheong Jun Hoong.

Yan Yee atau lebih mesra dengan panggilan Wendy berehat panjang lapan bulan akibat penggantun­gan, sekali gus menyaksika­n beliau terlepas membuat penampilan pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, April lepas.

Beliau dikenakan tindakan penggantun­gan daripada menyertai sebarang kejohanan antarabang­sa selama lapan bulan bermula Ogos tahun lepas, susulan kes doping.

“Dengan pingat perak ini, ia boleh membuktika­n saya masih boleh beraksi dengan baik dan sebenarnya saya atlet sangat bersih (daripada isu doping).

“Ini juga peluang untuk saya bersihkan nama,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini semalam.

Yan Yee tiba di tanah air bersama 113 atlet dan pegawai selepas menamatkan cabaran pada Sukan Asia 2018 yang melabuhkan tirai semalam.

Pada temasya kali ini, skuad terjun menyumbang satu perak menerusi gandingan Wendy-Nur Dhabitah dalam acara 3m papan anjal seirama dan tiga gangsa menerusi gandingan Leong Mun Yee- Nur Dhabitah (10m platform seirama), Nur Dhabitah (3m papan anjal individu) dan Chia Yiwei (3m papan anjal individu lelaki).

Dalam pada itu, Wendy mengakui berasa gementar ketika beraksi pada temasya sukan empat tahun sekali itu selepas berehat selama lapan bulan.

Namun, atlet berusia 25 tahun itu berasa gembira dan berpuas hati kerana berjaya mengatasi segala kesukaran dan membuahkan hasil yang tidak mengecewak­an.

“Saya masih gementar ketika berada di atas papan terjun. Tapi bersyukur sebab diberikan kekuatan dan peluang untuk melakukan yang terbaik.

“Selain gementar, saya juga dihantui kecederaan lama selain penyertaan di Sukan Asia kali ini seperti tergesa-gesa,” katanya yang digandingk­an lebih kurang sebulan bersama Nur Dhabitah sebelum beraksi di Sukan Asia.

Sementara itu, Wendy berkata buat masa ini beliau akan berehat dan menjalani proses pemulihan ekoran kecederaan berulang di bahu kiri dan bahagian belakang sebelum beraksi merebut slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau berkata skuad terjun negara menghadapi saingan Grand Prix Malaysia pada Oktober dan beberapa siri lain sebelum menyertai Kejohanan Terjun Dunia tahun depan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia