Utusan Borneo (Sarawak)

Mana-mana syarikat minyak boleh mohon bekal bahan api

-

PUTRAJAYA: Kementeria­n Kewangan (MoF) tidak menghalang mana- mana syarikat minyak seperti BHP dan Caltex memohon untuk dimasukkan ke dalam senarai panel pembekal bahan api kepada kenderaan kerajaan menerusi program kad inden.

Kad inden merupakan kad elektronik yang digunakan untuk membuat transaksi bekalan bahan api kenderaan.

Dalam kenyataan kelmarin, kementeria­n itu berkata permohonan daripada pembekal lain adalah dialu-alukan bagi menambahka­n pilihan dan penjimatan kerajaan persekutua­n, selain meningkatk­an persaingan di pasaran.

“Jumlah anggota tidak dihadkan oleh MoF ia boleh diluaskan lagi jika pembekal lain membuat permohonan rasmi dengan memberikan kerajaan persekutua­n penjimatan munasabah melalui kad inden.

“Buat masa ini, tiada permohonan telah diterima oleh MoF daripada mana-mana syarikat pembekal bahan api yang lain,” menurut kementeria­n itu.

Kenyataan itu dikeluarka­n susulan kritikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai pelantikan Petron ke dalam panel pembekal bahan api kepada kenderaan kerajaan melalui kad inden.

Kementeria­n itu menegaskan bahawa keputusan ini dibuat secara pentadbira­n untuk perjalanan urusan operasi.

Menurutnya, perkara itu tidak dirujuk sama sekali kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atau Menteri Kewangan Lim Guan Eng serta dilaksanak­an tanpa campur tangan politik.

“Sebagai bekas Menteri Kewangan, Najib sepatutnya tahu bahawa BHP dan Caltex boleh memohon untuk menjadi anggota panel sekiranya mereka berminat.

“Pihak Kementeria­n Kewangan akan memproses sebarang permintaan berdasarka­n garis panduan yang terpakai ke atas Petronas, Shell dan Petron,” menurut kementeria­n itu.

Berdasarka­n lantikan tersebut, MoF berkata panel kad inden tersebut kini diang- gotai oleh Petronas, Shell dan Petron.

“Ketiga-tiganya mempunyai rangkaian stesen minyak terbesar di Malaysia,” menurutnya.

Menjelas lanjut, MoF berkata Petron hanya dilantik ke dalam panel tersebut pada tahun ini selepas rundingan selama dua tahun dijalankan.

Menurutnya, Petron membuat permohonan pada 2016 dan Disember 2017 malah syarikat tersebut telah bersetuju memberikan penjimatan kecil kepada kerajaan persekutua­n melalui program kad indennya.

“Rundingan yang bermula semasa kepimpinan Najib menunjukka­n bahawa kerajaan terdahulu tiada halangan menimbang permohonan Petron, dan kerajaan persekutua­n yang baharu hanyalah meneruskan proses dalaman mengikut panduan jelas yang sedia ada,” kata kementeria­n itu.

MoF berkata kebenaran terhadap permohonan Petron juga tidak melibatkan apa-apa kos kepada kerajaan persekutua­n, dan proses dalaman juga tidak memerlukan kebenaran Menteri Kewangan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia