Utusan Borneo (Sarawak)

Husam Musa angkat sumpah sebagai Senator

-

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa semalam mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Negara.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S.A. Vigneswara­n.

Husam yang dipilih oleh kerajaan Persekutua­n sepatutnya mengangkat sumpah minggu lepas tetapi ditunda kerana menunaikan haji.

Isnin lepas, seramai 12 orang mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Negara antaranya Pengerusi Tetap Kongres Nasional PKR Ismail Yusop, Anggota Jawatankua­sa DAP Perak, Nga Hock Cheh, Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying dan bekas Anggota Parlimen Balik Pulau PKR, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.

Sementara itu, Vigneswara­n turut berpesan kepada senator baharu yang dilantik agar melaksanak­an proses demokrasi berlandask­an sifat keperibadi­an tinggi dengan pemikiran terbuka serta rasional.

Beliau turut menyeru anggota Dewan Negara yang baru dilantik agar membantu memperkasa imej Parlimen sebagai institusi perundanga­n yang berwibawa dan disanjung tinggi di peringkat antarabang­sa.

Sementara itu, Husam ketika ditemui pemberita merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V kerana memperkena­nkan pelantikan­nya sebagai Anggota Dewan Negara.

Mengulas peranannya sebagai anggota Dewan Negara, Husam berkata beliau akan membantu kerajaan dalam mengembang­kan ekonomi negara selain memperjuan­gkan beberapa isu di negeri yang dianggap sedikit ketinggala­n antaranya Kelantan, Terengganu dan Perlis.

“Saya juga berharap Pakatan Harapan tidak pinggirkan negeri-negeri ini dalam arus pembanguna­n negara,” katanya. — Bernama

 ??  ?? HUSAM MUSA
HUSAM MUSA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia