Utusan Borneo (Sarawak)

Penunggang motosikal patah tangan, kaki dalam kemalangan Bomba selamatkan lelaki sesat di hutan

-

TAWAU: Seorang buruh binaan patah tangan kanan dan kaki kiri dalam kemalangan di Jalan Kuhara simpang Jalan Jabatan Haiwan, kira-kira jam 7 malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata motosikal yang ditunggang mangsa, Ady Sakka, 30, berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda dipandu seorang lelaki, 65.

“Pemandu kenderaan pacuan empat roda, seorang pegawai di sebuah jabatan negeri tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Jelas beliau siasatan awal mendapati kemalangan disyaki berlaku akibat kecuaian pemandu pacuan empat roda terbabit ketika memasuki simpang di sebelah kanan jalan.

Menurut Fadil kenderaan pacuan empat roda itu dilanggar oleh motosikal mangsa yang datang dari arah bertentang­an, semasa pemandu memasuki kawasan simpang terbabit.

“Penunggang motosikal dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Jalan Tengku Osman menghala ke arah Bulatan Jalan Kuhara/ Air Panas sebelum kemalangan itu berlaku.

“Namun, kenderaan pacuan empat roda terlibat pula, membelok dari arah bertentang­an secara tiba-tiba untuk memasuki simpang Jalan Jabatan Haiwan di sebelah kiri motosikal.

“Keadaan itu menyebabka­n penunggang motosikal berkenaan yang berada di laluan lurus tidak sempat mengelak dan terlanggar pacuan empat roda terbabit,” katanya. Siasatan kes masih lagi berjalan dan dikendalik­an Penolong Pegawai Penyiasat Trafik Tawau Sjn David Charles mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987. SANDAKAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan menyelamat­kan seorang lelaki yang dilaporkan sesat ketika berjoging di Taman Rekreasi Hutan Simpan Kebun Cina, Taman Tshun Ngen Batu 5, malam Jumaat.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sandakan Anddre Andrew berkata mangsa, Noribnas Herman, 33, ditemukan pasukan penyelamat yang terdiri daripada pasukan bomba dan dibantu oleh kakitangan taman rekreasi berkenaan.

“Mangsa ditemukan di laluan trek dalam hutan berkenaan pada jarak 5 kilometer dari lokasi utama taman rekreasi itu,” katanya.

Beliau berkata pihaknya telah menerima panggilan pada jam 6.38 petang berhubung kejadian terbabit.

“Sebuah jentera bersama dua kenderaan bantuan dengan enam anggota yang diketuai oleh PBK ll Mohd Arsad Kadir bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Anddre berkata semasa tiba di lokasi kejadian, operasi mencari dan menyelamat dilakukan oleh pasukan bomba yang turut dibantu tiga kakitangan taman itu.

“Mangsa yang ditemukan dengan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dibawa keluar dari kawasan itu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia