Utusan Borneo (Sarawak)

Bakal doktor rugI RM14,700 diperdaya ‘Macau Scam’

-

KUANTAN: Seorang pelajar wanita yang bakal bergelar doktor mengalami kerugian RM14,700 selepas diperdaya dipercayai oleh sindiket ‘Macau Scam’ menerusi panggilan telefon yang mendakwany­a terlibat dalam kegiatan judi dalam talian haram, menurut polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata dalam kejadian pada jam 2 petang kelmarin, pelajar jurusan perubatan berumur 25 tahun itu menerima panggilan kononnya daripada sebuah syarikat telekomuni­kasi.

“Pemanggil berkenaan mendakwa nama mangsa telah disalah guna dengan perjudian secara dalam talian haram di Sabah.

“Susulan itu talian mangsa disambungk­an kepada anggota polis palsu di Sabah yang meminta maklumat peribadi daripada mangsa sebelum disambungk­an kepada pegawai atasan yang menyiasat kes tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, suspek ketiga yang memperkena­lkan diri sebagai inspektor polis itu kemudian telah menyuruh mangsa mengeluark­an kesemua wang di dalam akaun banknya yang berjumlah RM14,700.

Beliau berkata, mangsa yang mengikuti arahan berkenaan kemudian telah melakukan beberapa transaksi ke dalam akaun yang diberi oleh suspek kononnya bagi tujuan siasatan pengubahan wang haram oleh Bank Negara.

Katanya, mangsa menyedari ditipu setelah gagal menghubung­i suspek sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, lewat petang kelmarin.

Sementara itu, nasib yang sama turut dialami seorang lagi wanita di Temerloh yang mengalami kerugian RM32,000 setelah diperdaya menggunaka­n modus operandi yang sama.

Mohd Wazir berkata, mangsa, 56, yang menerima panggilan itu pada jam 12.45 tengah hari kelmarin, kemudianny­a telah memasukkan kesemua wang berjumlah RM32,000 ke dalam akaun yang diberikan suspek.

Dia hanya menyedari ditipu setelah gagal menghubung­i semula suspek sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh petang kelmarin, katanya.

Kedua-dua kes di siasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia