Utusan Borneo (Sarawak)

Pemandu dipenjara guna lambang, gelaran tidak diiktiraf

-

IPOH: Seorang pemandu dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dan menggunaka­n pelbagai lambang, logo, cop serta gelaran palsu, Mac lalu.

Majistret Siti Hafiza Jaafar memerintah­kan tertuduh Shahirul Syafiq Shaharin, 31, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 30 Mac 2018.

Tertuduh didakwa memiliki dan menggunaka­n pelbagai lambang, logo, cop dan gelaran yang tidak diiktiraf untuk kegunaan sendiri di sebuah rumah di Jalan Sultan Azlan Shah di sini, kira-kira jam 11.45 pagi, 30 Mac 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Lambang dan Nama (mencegah penggunaan tak wajar) 1963, yang boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua- duanya sekali.

Mengikut fakta kes, hasil semakan mendapati sijil watikah penganuger­ahan darjah kebesaran bintang dan pingat atas nama tertuduh adalah palsu dan tiada dalam rekod Penganuger­ahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat persekutua­n serta Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri.

Tertuduh juga didapati mengaku sebagai Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri dengan gelaran ‘Datuk Seri’ dan telah menawarkan pingat kebesaran Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran ‘ Datuk’ yang dianugerah­kan oleh kerajaan persekutua­n bagi pihak Yang Di-Pertuan Agong kepada seorang doktor dengan bayaran kira-kira RM110,000.

Kes itu dikendalik­an oleh Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras.

Terdahulu, Shahirul Syafiq yang tidak diwakili peguam memohon kepada mahkamah agar meringanka­n hukuman yang dikenakan ke atasnya kerana dia telah menginsafi kesilapan tersebut.

“Saya berjanji selepas menjalani hukuman, saya akan menjadi warganegar­a Malaysia yang bertanggun­gjawab dan menghormat­i kedaulatan negara,” kata bapa kepada dua anak itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia