Utusan Borneo (Sarawak)

Zaman penjawat awam ikut arahan membuta tuli telah berlalu: Ismail

-

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar semalam menegaskan bahawa zaman penjawat awam perlu menurut arahan membuta tuli telah berlalu.

Dalam kenyataan semalam, beliau berkata bagi mendepani cabaran dunia tanpa sempadan, setiap penjawat awam perlu menjadi pemimpin yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis, bukan hanya menjadi seorang pengikut.

“Segala pendekatan baharu ini tidak mungkin dapat dilaksana sekiranya kita semua masih dibuai mimpi lama. Pada masa terhad ini, penjawat awam perlu bertindak pantas dalam tugasan berlandask­an kepada prinsip bersih, cekap dan amanah,” katanya.

Katanya pemisahan kuasa antara badan pemerintah, perundanga­n dan kehakiman perlu diutamakan dalam memastikan integriti perkhidmat­an awam tidak dipertikai.

Beliau berkata ketika semua rakyat melangkah ke era Malaysia baharu, perkhidmat­an awam juga harus tekad untuk maju sederap dalam memberi khidmat terbaik kepada nusa dan bangsa.

Dalam pada itu, Ismail berkata sejak menerima lantikan sebagai Ketua Setiausaha Negara seminggu lepas, antara ikrar utama beliau adalah melaksanak­an reformasi ke arah mensejahte­rakan perkhidmat­an awam dan rakyat amnya.

“Kebelakang­an ini, imej perkhidmat­an awam agak sedikit tercalar akibat terkait dengan isu integriti dan tadbir urus dalam kalangan penjawat awam.

Sebagai institusi tulang belakang negara, kita harus berani bertindak untuk terus memperting­kat kecekapan, akauntabil­iti, integriti, tadbir urus, ketelusan dan etika dalam pelaksanaa­n tugas,” katanya.

Beliau berkata perkhidmat­an awam yang berfungsi sebagai institusi pelaksana harus sentiasa berada dalam barisan hadapan ketika menyantuni rakyat serta menutup semua jurang antara keduanya supaya perasaan pemilikan dapat diresapi oleh semua lapisan masyarakat.

Katanya dalam memberi khidmat terbaik kepada negara, penjawat awam juga perlu sentiasa bersedia melaksanak­an perubahan untuk mengharung­i halangan yang dihadapi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia