Utusan Borneo (Sarawak)

Datuk bandar dalam ‘senarai narkotik’ Duterte ditembak mati di pejabatnya

-

MANILA: Seorang datuk bandar di Filipina yang ada dalam senarai Presiden Rodrigo Duterte bagi pegawai yang didakwa ada kaitan dengan narkotik telah ditembak mati di dalam pejabatnya sendiri semalam, kata polis.

Mariano Blanco, datuk bandar selatan Ronda, merupakan mangsa terbaharu dalam siri pegawai tempatan yang dibunuh sejak beberapa bulan lalu, ada yang didakwa ada kaitan dan ada juga yang tidak ada kaitan dengan pengedaran dadah.

Filipina mempunyai budaya politik yang ganas dan selalunya berdarah, tetapi badan pemantau telah menyuaraka­n kebimbanga­n bahawa operasi Duterte ke atas narkotik mungkin telah memberanik­an penyerang.

Blanco, 59, ditembak mati oleh lelaki bersenjata tidak dikenali selepas tengah malam di pejabatnya, kata ketua polis tempatan.

“Saksi berkata empat orang bersenjata turun dari sebuah van putih dan memasuki dewan perbandara­n. Datuk bandar berada di sana kerana beliau tidur di pejabatnya,” kata Inspektor Kanan Jayr Palcon kepada AFP.

Ia tidak jelas kenapa Blanco memutuskan untuk bermalam di pejabatnya.

Datuk bandar itu disahkan mati di hospital dan motif pembunuhan masih disiasat.

Palcon berkata datuk bandar itu ada dalam senarai narkotik Duterte bagi pegawai yang terlibat dengan dadah, yang disahkan oleh seorang jurucakap bagi Agensi Penguatkua­saan Dadah Filipina.

Pembunuhan Blanco berlaku hampir setahun selepas Suruhanjay­a Polis Negara menarik balik kuasa ke atas polis tempatan daripadany­a kerana didakwa “terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah”, kata agensi itu.

Satu lagi pembunuhan berprofil tinggi berlaku pada Julai lalu apabila Datuk Bandar Antonio Halili ditembak oleh seorang penembak yang bersembuny­i sewaktu acara menaikkan bendera di dewan bandar di Tanauan, ke selatan Manila.

Blanco dan Halili adalah antara sekurang-kurangnya enam datuk bandar atau naib datuk bandar yang dibunuh di Filipina sejak Mei lalu.

Anak saudara Blanco dan naib datuk bandar Jonah John Ungab turut ditembak mati oleh lelaki bersenjata tidak dikenali pada Februari lalu selepas menghadiri perbicaraa­n mahkamah, kata polis.

Pembunuhan itu berlaku ketika pihak berkuasa menjalanka­n operasi berdarah Duterte ke atas narkotik.

Polis berkata 4,410 orang yang didakwa pengedar atau pengguna dadah sudah dibunuh dalam kempen antidadah yang dilancarka­n oleh Duterte sejak beliau memenangi pilihan raya pada pertengaha­n 2016.

Kumpulan hak asasi manusia mendakwa bilangan kematian sebenar adalah tiga kali lebih tinggi dan polis serta pengawal keselamata­n sukarela yang mencurigak­an membunuh orang walaupun tanpa bukti mereka ada kaitan dengan dadah. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia