Utusan Borneo (Sarawak)

Jurang ekonomi, pendapatan isi rumah antara kaum masih lagi luas

-

KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berharap suatu akta berhubung sabotaj ekonomi dapat segera digubal oleh kerajaan untuk mengekang tindakan pihak yang sengaja menggagalk­an matlamat dasar negara demi kepentinga­n peribadi.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM Ahmad Yazid Othman berkata, akta tersebut kemudianny­a perlu dikuatkuas­akan melalui suruhanjay­a khas yang bertanggun­gjawab memantau serta menyiasat mana-mana aktiviti yang didapati cuba melakukan sabotaj ekonomi.

“Suruhanjay­a ini juga boleh bertindak sebagai badan siasatan yang menerima laporan daripada pihak awam, dan semakan kehakiman boleh dilakukan sekiranya orang awam tidak bersetuju dengan hasil penemuan suruhanjay­a ini,” katanya selepas membentang­kan kertas cadangan mengenai Penguatkua­saan Undang- undang Terhadap Penyalahgu­naan Dasar Ekonomi dan Polisi Negara di sini, semalam.

Beliau berkata, akta tersebut perlu diperkenal­kan memandangk­an jurang ekonomi dan pendapatan isi rumah antara kaum masih lagi luas.

Ahmad Yazid berkata, sebanyak RM674.4 bilion daripada RM1.1 trilion yang disediakan kerajaan untuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sejak 20 tahun lalu telah digunakan oleh IKS Bumiputera namun ia hanya mampu menyumbang kurang daripada sembilan peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Sumbangan yang kecil itu adalah akibat daripada kegagalan mengawal aktiviti sabotaj ekonomi, katanya.

“Kita telah menyerahka­n kertas cadangan kepada pejabat Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

“MTEM tidak membuat draf untuk akta tersebut namun kita bersedia memberikan input tambahan kerana kita pernah mengemukak­an cadangan ini pada tiga tahun lepas dalam satu seminar bersama pihak Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.

Selain itu, Ahmad Yazid berkata MTEM juga mahu kajian semula dibuat terhadap beberapa dasar nasional lain antaranya yang melibatkan penstruktu­ran gaji serta pengukuran kekayaan melalui pendapatan isi rumah, pekerjaan dan sektor, bukannya melalui pegangan ekuiti semata-mata.

Beliau berkata, langkah itu membolehka­n tahap sebenar ketaksamaa­n yang dialami bukan saja bumiputera malah kaum lain dapat dikenal pasti di samping mencari penyelesai­an bagaimana untuk memberi peluang ekonomi yang adil kepada semua pihak. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia