Utusan Borneo (Sarawak)

Malaysia diisytihar bebas ‘African Swine Fever’

-

PUTRAJAYA: Malaysia diisytihar­kan bebas daripada ‘African Swine Fever’ (ASF) sejak virus itu dikesan berleluasa di Benua Asia sejak 3 Ogos lalu, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengambil langkahlan­gkah proaktif, antaranya menghentik­an semua produk berkaitan babi hidup dan beku yang diimport dari enam negara buat sementara waktu dan ia berkuat kuasa serta-merta.

Enam negara tersebut ialah China, Poland, Rusia, Hungary, Moldova (sebuah negara di Timur Eropah) dan Ukraine, katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pihak berkepenti­ngan dan penternak babi, mengenai risiko penyakit ASF.

“Oleh yang demikian, kerajaan memandang serius dan sangat mengambil berat risiko yang ada serta telah bertindak proaktif untuk memastikan tiada kemasukan virus ini ke Malaysia melalui pengimport­an daging dan produk babi.

“Kita tidak boleh membenarka­n industri babi diancam seperti dahulu ketika penularan virus Nipah. Kita mahu industri ini tahu kepentinga­n menjaga alam sekitar, kurangkan pencemaran dan mampu meningkatk­an tahap sara diri secara kompetitif,” katanya.

Menurut Sim, sejak kes wabak ASF dikesan, sebanyak tujuh foci telah dikenal pasti yang melibatkan lima provinsi di China iaitu Liaoning, Henan, Anhui, Jiangsu dan Zhejiang, dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) juga telah melahirkan kebimbanga­n penyakit itu boleh mengancam Semenanjun­g Korea dan negara lain di Asia Tenggara jika China tidak dapat membendung wabak itu dengan cepat.

Sehingga tahun ini, terdapat sebanyak 648 ladang babi yang didaftarka­n di Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak dengan populasi sebanyak 1.67 juta dan negeri Perak adalah pengeluar utama ternakan babi diikuti Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Melaka, katanya.

“Malaysia menghasilk­an sebanyak 209,264 tan metrik daging babi setahun, dan penggunaan daging babi adalah sebanyak 223,200 tan metrik setahun dengan purata pengambila­n daging itu sebanyak 17.6 kg setahun bagi setiap pengguna.

“Pengeluara­n daging babi adalah tidak mencukupi dan telah ditampung melalui daging babi import terutama dari Jerman, China, Sepanyol, Vietnam dan beberapa lagi negara lain sejumlah 25,321 tan metrik daging babi setahun,” katanya, sambil menambah tahap sara diri daging babi telah mencapai 93.7 peratus.

Mengulas lanjut, Sim berkata setiap kali terdapat permohonan import, Jabatan Perkhidmat­an Veterinar Malaysia akan menjalanka­n analisis risiko terhadap pengimport­an daging babi tersebut.

Bagi mencegah kemasukan virus itu ke Malaysia, Sim berkata pihaknya telah mengambil beberapa langkah antaranya adalah melalui kawalan import dengan cara menghalang pengimport­an produk dan ternakan dari negara yang terjangkit.

“Ini termasuk sisa makanan dari kapal terbang dan kapal laut dari negara terjangkit hendaklah dimusnahka­n dengan sempurna dan tidak dibawa keluar dari kawasan pelabuhan.

“Bagaimanap­un, penyakit ini tidak boleh menjangkit­i manusia dan perlu dielakkan kemasukan babi dari sumber yang tidak ketahui,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Sim berkata para penternak dinasihatk­an agar memastikan biosekurit­i ladang adalah pada tahap tertinggi dengan memastikan kawasan ladang babi mempunyai pagar perimeter.

“Hanya pelawat yang penting dibenarkan serta diwajibkan mengikuti prosedur disinfeksi, melihat ternakan dari jauh dan tidak bersentuha­n dengan ternakan.

Antara langkah lain adalah penternak mesti membeli ternakan atau stok penggantia­n dari ladang yang mempunyai rekod kesihatan yang baik dan disertakan dengan sijil kesihatan veterinar yang mengesahka­n kesihatan babi secara klinikal atau melalui ujian makmal.

Selain mematuhi prosedur kebersihan dan pembersiha­n termasuk disinfek pakaian dan gum boot, Sim berkata pihak berkuasa di sempadan perlu memastikan para pelancong yang pernah melawati ladang penternaka­n babi tidak membawa wabak penyakit itu melalui pakaian dan kasut agar industri babi di negara ini tidak tercemar. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia