Utusan Borneo (Sarawak)

Dr Maszlee akan jumpa mahasiswa yang berdemonst­rasi pada Rabu

-

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik akan menemui kumpulan mahasiswa yang mengadakan demonstras­i membantah pelantikan­nya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia (UIAM) di pejabat Kementeria­n Pendidikan pada Rabu ini.

Maszlee berkata beliau memberi jaminan akan bertemu mahasiswa berkenaan secepat yang mungkin untuk mendengar sendiri pandangan mereka.

“Langkah itu diambil memandangk­an saya tidak dapat memenuhi permintaan kumpulan memprotes yang berkeras mahu bertemu dengan saya secara bersemuka serta-merta, dan menuruti segera tuntutan mereka agar meletakkan jawatan sebagai Presiden UIAM.

Saya berada di Sarawak untuk lawatan kerja,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook dan Twitter rasminya, semalam.

Pada awalnya, Maszlee berkata beliau dimaklumka­n kesemua mereka yang terlibat adalah pelajar, tetapi maklumat terperinci menunjukka­n sebahagian adalah aktivis daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Katanya sepanjang berada di kawasan Blok E8 kementeria­n, kumpulan berkenaan diberi layanan yang baik termasuk menyediaka­n makanan, minuman dan keperluan asas lain serta mengambil maklum pandangan dan tuntutan mereka.

Maszlee berkata pegawai kementeria­n turut memastikan kebajikan kumpulan berkenaan termasuk mengadakan perbincang­an dengan pihak polis di Putrajaya untuk membebaska­n dua daripada mereka yang ditahan untuk disoal siasat.

Kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan awal pagi semalam.

“Saya menghormat­i hak mereka untuk bersuara. Menghormat­i hak bersuara dan kebebasan bersuara mahasiswa adalah satu daripada lebih 40 inisiatif 100 hari pertama saya menerajui Kementeria­n Pendidikan,” katanya.

Maszlee turut memberi jaminan bahawa beliau amat prihatin dalam soal kebebasan untuk bersuara mahasiswa dan autonomi universiti akan terus diperkasak­an.

“Saya akan meneruskan dasar pintu terbuka untuk bertemu dengan pemegangpe­megang taruh demi memartabat­kan sistem pendidikan negara,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berkata kerajaan akan mengkaji semula pelantikan Maszlee sebagai Presiden UIAM yang dikritik sesetengah pihak. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia