Utusan Borneo (Sarawak)

Dua pengecuali­an SST untuk kedai makanan dan minuman Pengecuali­an melibatkan penyewaan warung kecil, penjualan rokok

-

GEORGE TOWN: Kerajaan akan memberi pengecuali­an Cukai Jualan dan Perkhidmat­an ( SST) melibatkan penyewaan warung kecil dan penjualan rokok kepada para pengendali kedai makanan dan minuman.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata selepas menerima pelbagai maklum balas daripada para peniaga kedai makanan dan minuman, pengecuali­an cukai SST ini harus diberikan kepada sewaan warung-warung kecil dalam pekarangan kedai.

“Pengendali kedai makanan dan minuman hanya dikenakan cukai SST selepas melebihi nilai ambang RM1.5 juta yang merangkumi makanan dan minuman sahaja dan kadar sewaan warung-warung ini bukan melibatkan makanan dan minuman. Jadi itu sewaan tidak perlu masuk dalam cukai SST,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, Lim, yang juga Ahli Parlimen Bagan, menghadiri sesi Taklimat SST ber- sama Menteri Kewangan yang dihadiri lebih 300 peniaga dan wakil syarikat industri.

Turut hadir bersama adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri T. Subromania­m dan pengerusi Jawatankua­sa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh.

Lim turut mengumumka­n bahawa penjualan rokok di kedai berkenaan yang tidak mencapai nilai ambang sebanyak RM500,000 setahun juga akan diberi pengecuali­an cukai SST.

Katanya, kerajaan telah bersetuju bahawa nilai ambangan kedua-dua barangan berkenaan diasingkan kepada RM1.5 juta setahun bagi makanan dan minuman, manakala RM500,000 untuk rokok.

“Pengecuali­an SST ke atas penjualan rokok di kedai makanan dan minuman yang nilai ambanganny­a kurang daripada RM500,000 ini akan membantu peniaga untuk mengurangk­an bebanan mereka dengan barangan itu akan dijual pada harga sama di kedai lain,” katanya.

Lim juga berkata kerajaan sedang memberi pertimbang­an untuk memberi pengecuali­an cukai kepada pengendali sektor penyelidik­an dan pembanguna­n (R&D) tempatan yang berpangkal­an di luar kawasan Zon Industri Bebas ( FIZ) yang memberi perkhidmat­an kepada syarikat di kawasan berkenaan.

“Ini bagi memberikan dorongan kepada sektor R&D tempatan dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0 dan meningkat daya saing dalam kalangan pemain industri tempatan,” katanya lagi. — Bernama

Pengendali kedai makanan dan minuman hanya dikenakan cukai SST selepas melebihi nilai ambang RM1.5 juta yang merangkumi makanan dan minuman sahaja dan kadar sewaan warung-warung ini bukan melibatkan makanan dan minuman. Jadi itu sewaan tidak perlu masuk dalam cukai SST. Lim Guan Eng Menteri Kewangan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia