Utusan Borneo (Sarawak)

Ruang sukan di bangunan Parlimen akan ditambah baik

-

GEORGE TOWN: Ruang riadah di bangunan Parlimen akan ditambah baik bagi memupuk budaya sihat dalam kalangan anggota parlimen, khususnya ketika dewan bersidang.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata setakat ini ruang itu boleh dimanfaatk­an untuk sukan pingpong.

“Kita akan tambah ruang untuk lain-lain sukan,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan perlawanan pertama pingpong kategori perseorang­an lelaki peringkat umur 50-an Sukan Masters Asia Pasifik (APMG) Pulau Pinang 2018, di sini semalam.

Katanya beliau berharap penambahba­ikan ruang sukan berkenaan akan dimanfaatk­an sepenuhnya oleh wakil rakyat di bawah kerajaan baharu sekarang.

“Kita mahu wakil rakyat kita sihat-sihat belaka,” katanya.

Mengulas mengenai APMG, Mohd Rashid berkata temasya itu memberi peluang kepada bekas atlet dan peserta lain sepertinya untuk menunjukka­n kemahiran yang pernah mereka kuasai pada satu ketika dahulu.

“Seperti saya sendiri, perlawanan hari ini memang menggamit kenangan ketika muda-muda dahulu. Sewaktu saya sekolah rendah, saya atlet pingpong dan aktif dalam sukan-sukan yang lain. Saya tidak handal dalam semua sukan tetapi saya main semuanya,” katanya.

Pada perlawanan hari ini, Mohd Rashid tewas di tangan Setiausaha Persatuan Ping Pong Pulau Pinang Oon Tik Keong dengan catatan 2-3.

Selain pingpong, timbalan speaker itu turut menyertai acara bola sepak dan pasukannya akan menentang pasukan dari Ukraine hari ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia