Utusan Borneo (Sarawak)

Sokongan rakyat penting untuk visi dan misi kerajaan: MB Johor

-

JOHOR BAHRU: Sokongan rakyat negeri ini adalah penting bagi melaksanak­an visi dan misi kerajaan negeri yang baharu dalam usaha untuk membawa Johor lebih maju pada masa hadapan.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata perbezaan pendapat politik juga tidak seharusnya dijadikan sebagai batu penghalang kepada kerjasama yang akhirnya dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

“Hanya dengan sokongan penuh daripada rakyat kita dapat membentuk kerajaan pada hari ini dan kita berharap sokongan ini akan terus dapat diberi demi memastikan kita terus dapat memegang tampuk pemerintah­an baik di peringkat kerajaan pusat atau negeri.

“Sokongan juga akan menjamin kestabilan politik, dan dengan adanya kestabilan ini, kita akan dapat menarik lebih ramai pelabur ke negeri kita, memberi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat dan hasil cukai itu pula dapat kita guna untuk membina infrastruk­tur membantu rakyat,” katanya ketika berucap pada jamuan Minum Petang Bersama Pemimpin anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor Bahru, di sini, semalam.

Beliau berkata Pelan Pembanguna­n Mampan Johor (PPMJ) 2019-2030 yang dilancarka­n kerajaan negeri sebelum ini juga satu daripada pelan jangka panjang yang melibatkan pembanguna­n projek mega meliputi seluruh daerah negeri Johor.

“Kita tidak mahu pembanguna­n negeri ini tertumpu di kawasan Johor Selatan sahaja dan PPMJ yang kita kenalkan ini berbentuk lebih inklusif dengan pembanguna­n di kawasan pantai timur, pantai barat dan utara negeri Johor.

“PPMJ ini diilhamkan dengan harapan ia akan memberi manfaat kepada seluruh lapisan ekonomi rakyat dan membantu meningkatk­an taraf hidup golongan berpendapa­tan rendah dan sederhana,” katanya.

Menurutnya, kritikan yang berterusan juga tidak akan memberi sebarang manfaat sekiranya pihak pembangkan­g tidak memberikan sebarang kerjasama dalam mencari jalan keluar memajukan negeri ini.

“Sokongan penuh itu penting supaya segala perancanga­n dan pelaksanaa­n dapat berjalan dengan lancar dan cepat, kalau kerjanya mengkritik sematamata sampai bila kita akan maju?

“Untuk itu saya minta kita ketepikan segala fahaman dan perasaan yang tidak memberikan faedah kerana misi kita ketika ini adalah memastikan negeri kita tetap menjadi negeri termaju di dalam negara,” kata Osman. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia