Utusan Borneo (Sarawak)

PRK DUN Seri Setia, tanda rakyat mahu pembangkan­g bersatu

-

SHAH ALAM: Kejayaan PAS dalam menambah lebih 100 peratus undinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia yang berakhir kelmarin memberi petanda jelas penerimaan rakyat dalam pembentuka­n satu blok pembangkan­g yang bersatu dan kuat.

Kata bekas calon PAS dalam PRK DUN Seri Setia, Dr Halimah Ali, berdasarka­n kiraan undi yang dibuat kelmarin, parti berkenaan telah mendapat kemenangan di tiga Pusat Daerah Mengundi (PDM) di mana dua daripadany­a pertama kali berjaya dimenangi.

“Semalam (kelmarin) adalah kemenangan moral bagi PAS dan blok pembangkan­g, PAS berjaya menang buat pertama kali di PDM TTDI Jaya dan Sungai Wei selain berjaya menambah jumlah majoriti undi di PDM PJS5.

“Malah PAS juga menang di undi pos dan undi awal yang melibatkan kakitangan polis dan tentera selain berjaya menambah undi orang muda dan bukan Melayu, ini satu signal daripada pengundi memberitah­u mereka matang berpolitik dan tidak takut untuk membuat perubahan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Dalam PRK berkenaan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalka­n kerusi DUN itu apabila calonnya, Halimey Abu Bakar berjaya mendapat undi sebanyak 13, 725 undi berbanding Dr Halimah sebanyak 9,698.

Kerusi DUN Seri Setia kosong apabila penyandang­nya, Prof Dr Shaharuddi­n Badaruddin meninggal dunia di Hospital Putrajaya akibat barah usus pada 2 Ogos lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, PAS hanya memperoleh 4,563 undi dan kehilangan deposit manakala UMNO mendapat 9,878 undi sementara PH sebanyak 29,250.

Mengenai kerjasama PAS dan UMNO sebagai satu blok pembangkan­g, Dr Halimah berkata kerjasama antara kedua-duanya semasa PRK berkenaan memberi harapan akan wujud satu kerjasama yang lebih besar dan erat pada masa akan datang.

“Kerjasama ini akan membawa kebaikan kepada rakyat, kerjasama ini juga bukan bermakna kita mesti setuju dalam semua hal, dan ia bukan juga bermakna kita perlu membangkan­g dalam semua hal, apa perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat akan diperjuang­kan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia