Utusan Borneo (Sarawak)

Sekolah di Labuan sambut meriah Hari Malaysia

-

LABUAN: Semangat patriotik memenuhi segenap ruang SK Sg Bedaun ketika pelajar-pelajar dan lebih 50 guru menggunaka­n kreativiti mereka menghiasi sekolah untuk sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept.

Guru besar sekolah itu, Dg Sharifah Ag Mahmod, berkata mereka mengumpul lebih daripada 2,000 botol plastik kitar semula untuk membuat pintu gerbang Jalur Gemilang, replika Menara KL serta memasang lebih 200 Jalur Gemilang di sekitar pagar dan premis sekolah sejak sambutan Bulan Kebangsaan dan sebagai persediaan untuk pertanding­an Hari Malaysia yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Labuan.

“Kami telah melakukan ini sejak awal hari pembukaan sekolah ini...kami telah memenangi beberapa pertanding­an semasa Hari Wilayah Persekutua­n dan Merdeka, dan kami mahu menang lagi,” katanya ketika ditemui Bernama di sekolah tersebut, di sini semalam.

Tahun lepas sekolah tersebut memenangi pertanding­an bagi kategori sekolah dan juga juara keseluruha­n bagi pertanding­an perbarisan merdeka di Labuan.

Sharifah berkata sekolah itu juga telah menganjurk­an pelbagai aktiviti dan permainan yang berkaitan dengan patriotism­e seperti lukisan dan mewarna bendera kebangsaan dan negeri bagi murid-murid prasekolah dan pelajar sekolah rendah.

Beliau berkata projek itu bukan sahaja mengajar kanak-kanak erti patriotism­e tetapi juga membantu mereka memupuk tabiat baik seperti mengitar semula dan menggunaka­n semula bahan-bahan untuk kerja-kerja mereka.

“Pelajar-pelajar kami dilihat amat teruja dan gembira ketika menghiasi kawasan sekolah. Mereka berikan kerjasama sepenuhnya dalam semua aktiviti yang dianjurkan,” katanya dan menambah bahawa inilah kali pertama mereka menghias sekolah mereka dalam skala yang besar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Datuk Azhar Ahmad berkata tahun ini acara perbarisan sempena sambutan Hari Malaysia di Labuan akan disertai 131 kontinjen yang melibatkan 18 jabatan kerajaan termasuk badan beruniform, tadika, prasekolah, sekolah, dan institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan ( NGO), sektor swasta dan kampungkam­pung.

Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad dijadual merasmikan acara itu yang akan diadakan di Dataran Labuan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia