Utusan Borneo (Sarawak)

Berita dua mayat mangsa culik dijumpai di Pulau Pinang palsu

-

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menafikan berita yang tular di laman sosial Facebook sejak beberapa hari lepas berhubung penemuan mayat dua wanita yang kononnya diculik di sebuah stesen minyak di negeri itu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Seri A. Thaiveegan berkata berita tentang penemuan mayat itu tidak benar sama sekali, bahkan beberapa kali ditularkan sejak Mei 2014.

“Saya menafikan mengenai ulangan berita palsu tentang kejadian mayat dua wanita ditemui selepas diculik. Ia tidak benar dan telah ditular oleh orang yang tidak bertanggun­gjawab dan suka menimbulka­n perasaan gusar di kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah mempercaya­i dan terpengaru­h dengan berita-berita pelik serta palsu seperti itu.

Thaiveegan turut meminta orang ramai berhenti mengedar dan berkongsi cerita serta berita tidak sahih melalui media sosial kerana tindakan sebegini mampu mengancam ketenteram­an dan keharmonia­n awam.

Tular di media sosial sejak beberapa hari lepas kononnya seorang wanita dan rakannya berhenti mengisi minyak di sebuah stesen minyak sebelum seorang lelaki dikatakan anggota sindiket culik telah masuk ke dalam kereta dan menculik mereka.

Susulan kejadian itu, dikatakan mayat dua wanita berkenaan ditemui di Pulau Pinang dengan beberapa organ badan telah tiada kerana sindiket tersebut menjual organ mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata, wanita yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki warga India cedera parah diketuk dengan tukul besi dalam insiden di Jalan Kapitan Keling di sini semalam, direman lima hari.

Katanya, wanita berusia 46 tahun yang merupakan bekas teman wanita mangsa berumur 24 tahun itu bertindak sedemikian kerana lelaki berkenaan enggan lagi memberi wang kepada suspek selepas mereka berpisah sejak dua minggu lepas.

“Wanita itu juga berang selepas mangsa memutuskan perhubunga­n cinta dengannya. Lelaki tersebut masih dirawat di Hospital Pulau Pinang dan menurut doktor, keadaannya boleh menyebabka­n maut kerana mangsa mengalami pendarahan dalam otak,” katanya.

Dalam kejadian jam 4 pagi semalam, mangsa yang merupakan juruwang sebuah kedai serbaneka mengalami kecederaan parah di kepala selepas diserang wanita itu dengan tukul besi semasa dia sedang bekerja di premis perniagaan berkenaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia