Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan Sabah akan kenal pasti kawasan untuk bina empangan

-

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mengenal pasti beberapa kawasan untuk pembinaan empangan bagi memastikan bekalan air di negeri ini mencukupi dalam tempoh 50 tahun akan datang, kata Ketua Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata untuk melaksanak­an perkara itu satu kajian mendalam akan dilaksanak­an lokasi pembinaan empangan itu di tiga lokasi iaitu Tambunan, Papar, dan Kota Belud.

“Kita tahu cadangan pembinaan di Kaiduan, Papar mempunyai masalah. Oleh itu kita akan mengenal pasti beberapa kawasan untuk pembinaan empangan agar bekalan air kita mencukupi di masa akan datang.

“Kalau tiada air pada masa hadapan nanti banyak orang akan buat demonstras­i. Oleh itu kita perlu selesaikan masalah bekalan air khususnya generasi kita pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Forum Hari Malaysia anjuran Pertubuhan Pasokmomog­un Kadazandus­un Murut Bersatu (UPKO), di sini kelmarin.

Turut hadir, Pemangku Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Mengulas mengenai forum itu, Mohd Shafie berkata forum itu sangat bertepatan untuk menjadi platform untuk percambaha­n pendapat dalam membincang­kan dokumen seperti Perjanjian Malaysia 1963.

“Saya harap forum ini dapat diteruskan di masa hadapan kerana ia sangat penting untuk kita mengetahui apa yang tersirat dalam dokumen berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan baharu Sabah yang diterajui Parti Warisan Sabah (WARISAN) akan memastikan hak Sabah dapat terus dipertahan­kan.

Sementara itu, Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomog­un Kadazandus­un Murut Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata forum berkenaan bertujuan untuk memahami kandungan dokumen seperti MA63.

“Forum ini dilaksanak­an setiap tahun sempena Hari Malaysia dan forum ini telah diadakan sejak lima tahun lepas. Forum ini sangat penting untuk memastikan kita dapat memahami dokumen yang sangat penting seperti MA63.

“Melalui forum ini kita dapat melihat bagaimana kerajaan melaksanak­an MA63... kita perlu tahu bahawa MA63 adalah dokumen yang berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan perkara yang terkandung dalam dokumen itu sangat serius,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia