Utusan Borneo (Sarawak)

PH Terengganu difitnah kononnya bantah sebatan terhadap lesbian

-

KUALA TERENGGANU: Pakatan Harapan (PH) Terengganu kecewa dan kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggun­gjawab yang menabur fitnah kononnya PH Terengganu membantah hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pasangan lesbian pada 3 Sept lalu.

Pengerusi PH Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata pada hari hukuman sebatan itu dijalankan, satu risalah palsu telah diletakkan di kereta milik orang awam yang terletak di luar perkaranga­n mahkamah.

“Risalah itu mengandung­i kenyataan kononnya dari Urusetia Pakatan Harapan yang menegaskan hukuman itu sebagai satu bentuk penindasan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgende­r (LGBT) sedangkan pendirian kita jelas untuk menghormat­i dan mematuhi apa sahaja undang-undang yang telah diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

“Adalah amat jelas bahawa fitnah itu hanya bertujuan menimbulka­n kebencian dan kemarahan rakyat terhadap PH. Malah ia adalah satu perancanga­n yang sangat rapi dan tersusun untuk memfitnah PH Terengganu,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Raja Bahrin yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata susulan itu, satu laporan polis telah dibuat Setiausaha Amanah Terengganu, Zulkifli Ali di Ibu Pejabat Polis Dungun pada 5 Sept supaya polis menyiasat mengenai penyebaran risalah palsu tersebut.

“Namun, sekali lagi PH Terengganu menjadi mangsa fitnah apabila gambar mereka di IPD Dungun telah dimuat naik seorang lelaki di laman Facebook kononnya laporan polis itu adalah berkaitan hukuman sebatan terhadap pasangan lesbian itu sedangkan laporan sebenar ialah berkaitan risalah palsu.

“Posting lelaki tersebut di Facebook telah dikongsi oleh beberapa individu lain dan ditularkan ke dalam beberapa ‘Page Facebook’ serta di aplikasi WhatsApp dan ini telah memberi gambaran yang begitu buruk terhadap PH Terengganu,” katanya.

Sehubungan itu, satu lagi laporan polis telah dibuat di IPD Dungun dan Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada 6 Sept lalu untuk mengesan semua individu yang terlibat dengan penyebaran status di Facebook tersebut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia