Utusan Borneo (Sarawak)

UTHM, Sena Traffic System jalin kerjasama buka pusat penyelidik­an

-

JOHOR BAHRU: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia ( UTHM) menandatan­gani surat hasrat (LoI) dengan Sena Traffic System (STS), Rabu lepas, bagi membuka pusat penyelidik­an di kampus induk universiti berkenaan di Parit Raja dekat Batu Pahat.

Naib Canselor UTHM Prof Dr Wahid Razzaly berkata, jaringan kerjasama yang ditandatan­gani beliau dan Pengarah Urusan Kumpulan Sena, Datuk Tan Boon Hock di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UTHM itu sekali gus dapat memastikan graduan yang dilahirkan lebih kompeten manakala penyelidik­an yang dilakukan menepati kehendak industri.

“Antara inti pati LoI ini ialah STS akan mengambil langkah strategik dengan membuka pusat penyelidik­an di kampus induk UTHM bagi memastikan pelajar dan penyelidik universiti ini mendapat maklumat dan data dengan pantas selain sentiasa mendapat kerjasama yang berterusan daripada pihak industri.

“Selari dengan hala tuju Kementeria­n Pendidikan supaya universiti berusaha mencari dana, maka melalui kerjasama ini UTHM juga berupaya menjana pendapatan sendiri melalui sewaan ruang,” katanya menerusi kenyataan, di sini semalam.

Wahid berkata, UTHM merupakan universiti teknikal yang berupaya membantu merealisas­ikan hasrat STS menghasilk­an produk untuk pasaran bandar pintar.

Beliau berkata, Teknologi Industri 4.0 yang diguna pakai dalam kerjasama tersebut amat bersesuaia­n dengan hala tuju negara dan pelajar UTHM juga akan turut mendapat pendedahan praktikal.

“Pihak UTHM amat kagum dengan sistem lampu trafik canggih yang dibangunka­n oleh STS kerana ia berupaya mengurangk­an kesesakan jalan raya dan ini dapat mengurangk­an pelepasan karbon yang menjadikan bandar-bandar di Malaysia lebih mesra alam.

“Melalui kerjasama ini, saya melihat masyarakat setempat terutama sekolah berdekatan juga akan mendapat manfaat melalui aktiviti tanggungja­wab sosial yang boleh dilakukan bersama oleh UTHM dan STS.

“Pendedahan aktiviti penyelidik­an bandar pintar boleh menjadi pemangkin pelajar sekolah untuk mendalami bidang sains dan teknologi yang amat diperlukan oleh negara,” kata beliau.

Wahid berkata, UTHM kini mempunyai ramai penyelidik dan sehubungan itu, universiti tersebut amat mengalu-alukan penyertaan lebih banyak syarikat untuk membuka pusat penyelidik­an dan operasi di kampus UTHM sama ada di Parit Raja atau Pagoh.

Sementara itu, menurut kenyataan sama, Tan berterima kasih kepada UTHM kerana mahu bekerjasam­a dengan pihaknya untuk membangunk­an lebih banyak produk inovasi yang boleh diterima pakai dan dikomersia­lkan di pasaran global.

“Kerjasama ini akan memberi faedah kepada STS yang mana penyelidik dan pelajar dapat terlibat sama dalam penyelidik­an yang dilakukan.

“Dengan ini, STS tidak akan kekurangan tenaga kerja mahir untuk menyiapkan projek yang diminta pelanggan. Kemahiran jurutera STS juga boleh terus dipertingk­at sesuai dengan permintaan semasa melalui kursus pendek yang boleh diberikan oleh tenaga akademik UTHM,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia