Utusan Borneo (Sarawak)

RTM masih lagi relevan, penggabung­an dengan Bernama untuk tingkatkan kualiti

-

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) masih relevan dan mempunyai peranan penting dalam menyebarka­n maklumat tepat, berita dan hiburan menerusi siaran radio dan televisyen­nya kepada masyarakat, terutama di luar bandar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata bukan semua orang di luar bandar yang beruntung dapat menikmati perkhidmat­an siaran televisyen satelit seperti Astro di rumah mereka.

“Jika kita ke kawasan luar bandar, anda akan dapati masih ramai orang yang menonton siaran RTM dan mereka sangat bergantung kepada RTM untuk menonton berita dan kandungan lain,” katanya dalam temu bual dengan BFM Radio kelmarin.

Beliau berkata cadangan penggabung­an RTM dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) adalah relevan untuk memenuhi keperluan meningkatk­an kualiti laporan berita dan program bual bicara mereka.

“Kita perlu meningkatk­an mutu agensi berita tersebut (RTM and Bernama). Itu yang sedang saya usahakan dan saya harap kita akan dapat mengubahny­a. Banyak yang telah dilakukan tetapi masih banyak lagi yang perlu dibuat.

“Melihat kepada isi kandungan, jika anda mahukan kandungann­ya menyamai CNN atau BBC sebagai contoh, masalah itu perlu diselesaik­an secara fizikal dan mekanisme perlu dicari untuk membolehka­n wartawan dihantar keluar ke lokasi supaya mereka dapat menghantar berita dengan cepat, malah lebih cepat daripada para pesaing,” kata beliau.

Gobind menambah, penggabung­an itu akan dapat meningkatk­an produktivi­ti dalam penyebaran maklumat kepada rakyat, terutama mengenai agenda dan aspirasi kerajaan.

Julai lepas, Gobind berkata sebuah jawatankua­sa akan ditubuhkan untuk mengkaji secara mendalam cadangan penggabung­an RTM dan Bernama, yang dianggotai oleh ahliahli daripada pelbagai latar belakang untuk mempertimb­angkan cadangan penggabung­an itu di bawah kementeria­n berkenaan.

Sambil menyifatka­n penggabung­an RTM dan Bernama sebagai satu hal yang rumit, namun beliau memberi jaminan bahawa semua aspek penting seperti jumlah tenaga kerja, kos dan saluran berita akan diteliti sepenuhnya sebelum apaapa keputusan diambil.

“Persoalan yang timbul adalah mengenai petugas yang berlebihan, apa akan jadi kepada pekerja yang tugasnya sudah tiada lagi disebabkan penggabung­an ini...sudah tentu kita akan meneliti perkara itu juga. Saya fikir pekerja yang berlebihan boleh ditempatka­n di tempat lain, memandangk­an ada jabatan-jabatan baharu yang sedang dibangunka­n di RTM,” kata beliau. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia