Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan tanggung lebih RM2 bilion subsidi petroleum RON95 dan diesel

-

KUCHING: Lebih RM2 bilion subsidi petroleum RON95 dan diesel ditanggung kerajaan sejak empat bulan mengambil alih pentadbira­n negara.

Timbalan Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen berkata, jumlah itu untuk menanggung subsidi pengekalan harga runcit petrol dan diesel sejak Mei hingga Ogos 2018.

“Dari Mei hingga Ogos, kerajaan menanggung subsidi RM1.3 bilion untuk petrol RON95 sementara diesel adalah lebih RM807 juta, dengan jumlah keseluruha­n lebih RM2 bilion disubsidi kerajaan.

“Mesejnya di sini adalah jika tiada pertukaran kerajaan, rakyat perlu membayar RM2 bilion untuk membeli petrol tetapi disebabkan kerajaan bertukar, kita membantu rakyat untuk menstabilk­an harga petrol dan diesel dengan penjimatan RM2 bilion dalam tempoh empat bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai pemeriksaa­n dan pemantauan pada Operasi Catut 5.0 Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di pasar raya Everrise BDC di sini, semalam.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak itu berkata, sejak PH mengambil alih tampuk pentadbira­n negara, kerajaan berjaya menstabilk­an harga petrol di negara ini.

Katanya walaupun harga minyak dunia meningkat tetapi kerajaan masih mampu mengekalka­n harga runcit minyak RON95 dan diesel.

“Kami berada di sini untuk menunaikan manifesto dan kami berjaya mengekalka­n harga runcit kedua-dua petrol itu.

“Kerajaan membayar kepada syarikat minyak agar harga bagi kedua-dua petrol itu sentiasa dikekalkan,” katanya.

Pada 7 Jun lepas, kerajaan PH telah memperuntu­kkan RM3 bilion sehingga hujung tahun ini untuk menanggung subsidi pengekalan harga runcit petrol dan diesel.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, ini bermakna tanpa subsidi minyak yang dijanjikan dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14, harga RON95 dan diesel akan meningkat kepada RM2.53 dan RM2.51 masing-masing seliter.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia