Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki bersenjata serbu penjara di Brazil, 92 banduan lolos: Polis

-

SAO PAULO: Lelaki bersenjata berat meletupkan pagar depan sebuah penjara kawalan keselamata­n maksimum di timur laut Brazil pada awal kelmarin dan dengan melepaskan tembakan bertalu-talu membolehka­n 92 banduan untuk melarikan diri selain membunuh seorang anggota polis, kata pihak berkuasa.

Pegawai penjara berkata serangan itu dilancarka­n oleh kira-kira 20 lelaki yang menaiki empat kenderaan yang menembak menara pengawal dan menggunaka­n bahan letupan untuk memusnahka­n pagar depan Penjara Romeu Goncalves Abrantes.

Seorang anggota polis yang ditembak dalam serangan itu kemudian meninggal dunia di hospital. Tiada laporan lain diterima mengenai kematian atau kecederaan.

Penjara itu, sebuah kemudahan kawalan keselamata­n dengan 680 banduan, terletak di Joao Pessoa, ibu negeri Paraiba.

“Lelaki bersenjata berat menumbangk­an pagar utama selepas berbalas tembakan dengan polis dan ejen penjara,” kata sekretaria­t penjara di negeri itu.

Pada waktu tengah hari, seramai 41 daripada 92 banduan yang telah melarikan diri berjaya ditangkap semula selepas pasukan keselamata­n menutup ibu negeri, sekolah dan pusat perubatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Lebih seribu anggota polis digerakkan untuk menyertai usaha mencari, kata pihak berkuasa.

Ketua sekretaria­t negeri, Kolonel Sergio Fonseca de Souza, berkata matlamat serangan itu adalah untuk membebaska­n tiga suspek yang ditangkap setahun lalu kerana melakukan serangan bersenjata menggunaka­n bahan letupan.

Brazil mempunyai populasi penjara ketiga terbesar di dunia, dengan 726,712 banduan setakat Jun 2016, menurut statistik rasmi.

Populasi itu adalah dua kali ganda kapasiti penjara di negara tersebut, yang pada 2016 dianggarka­n seramai 368,049 banduan.

“Seluruh Brazil sedang mengalami situasi ini,” kata Kolonel Euller Chaves daripada polis tentera.

Selain kesesakan yang buruk, penjara Brazil juga dihantui keganasan samseng, dan rusuhan serta cubaan meloloskan diri dari penjara biasa berlaku.

Pada April lalu, pertempura­n ala tentera meletus antara pengawal dengan banduan yang dibantu oleh sekutu luar, sehingga mengorbank­an 21 orang di sebuah penjara di Belem, dekat hutan hujan Amazon.

Penyerang dalam kes itu juga bersenjata berat dan cuba meletupkan dinding untuk membantu banduan melarikan diri. Seorang anggota polis maut bersama 20 banduan dan sekutu mereka.

Pada Februari lalu, 18 orang diculik sewaktu rusuhan penjara berlaku dekat Rio de Janeiro, tetapi pengawal berjaya merampas balik penjara tanpa menyebabka­n kematian.

Bagaimanap­un sebulan sebelum itu, rusuhan penjara di negeri tengah Goias berakhir dengan kebakaran yang mengorbank­an sembilan orang.

Setahun sebelum itu, polis Brazil terpaksa melancarka­n operasi memburu besar-besaran selepas 184 banduan lari dari dua penjara di negeri Amazonas ekoran pertumpaha­n darah selama 17 jam yang mengerikan antara geng-geng bermusuhan yang mengorbank­an 56 banduan, kebanyakan­nya dipenggal kepala.

Presiden Michel Temer kemudian berikrar untuk membina penjara baharu di setiap negeri untuk mengurangk­an kesesakan.

Namun 26 banduan lain maut, kebanyakan­nya dipenggal kepala, dalam satu lagi pembunuhan beramairam­ai di sebuah penjara timur laut pada hujung bulan yang sama, sebelum kerajaan memanggil tentera untuk membantu memulihkan ketenteram­an. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia