Utusan Borneo (Sarawak)

Kedudukan Nam Cheong dalam pasaran sewa kapal di Malaysia semakin kukuh

-

SINGAPURA: Kedudukan Nam Cheong yang berpangkal­an di Singapura sebagai pemain serius dalam pasaran sewa kapal Malaysia semakin kukuh, kata Pengerusi Eksekutifn­ya Tan Sri Tiong Su Kouk.

Keyakinan itu adalah berdasarka­n kepada kenaikan 35 peratus hasil sewaan dalam separuh pertama 2018, berbanding tempoh yang sama pada 2017, katanya dalam Surat kepada Pemegang Saham semalam.

Salinan Surat kepada Pemegang Saham itu disediakan kepada Bernama.

“Memandangk­an pemulihan perlahan-lahan ini dan keadaan pasaran yang mencabar sekarang bagi pembinaan kapal, sejak 2017, kami telah mengembang­kan segmen sewaan kapal kami dengan mengoptimu­mkan aset kami yang tidak aktif menerusi penyewaan kapal dan membentuk operasi penyewaan lengkap kami sendiri.

“Kami gembira penyertaan aktif kami dalam menender kontrak sewa telah membawa kemajuan dan hasil yang baik,” kata Tiong.

Beliau juga berkata dengan pelaksanaa­n strategi ini, Nam Cheong, pemain marin luar pantai akan bangkit daripada kitaran industri yang berlarutan ini dengan lebih kukuh, kerana mereka menyasarka­n prospek jangka panjang bagi segmen ini.

Dalam surat itu, Tiong berkata Nam Cheong telah mengharung­i tempoh paling mencabar dalam sejarah korporatny­a sejak penubuhann­ya pada 1968 dalam tempoh dua tahun lepas, disebabkan oleh kelembapan dalam industri minyak dan gas yang menjejaska­n kedudukan kewanganny­a.

Bagi mengurangk­an kesan negatif kelembapan pasaran, pengurusan dan lembaga giat mengkaji semula dan menilai kecekapan teras kumpulan, keupayaan kewanganny­a dan strategi untuk mewujudkan platform perniagaan lebih besar, menumpukan kepada nilai mampan jangka panjang bagi semua pemegang saham.

Selain itu, katanya, Nam Cheong juga memanfaatk­an dengan baik pemulihan yang sedang berlaku dalam industri luar pantai dan marin ketika ini.

Disokong oleh keyakinan tinggi terhadap kekukuhan pasaran minyak, harga minyak mentah berada di atas paras AS$60 setong sejak suku akhir 2017.

Memetik data Rigzone, Tiong berkata kekukuhan harga minyak, perbelanja­an modal dalam kalangan syarikat minyak dan gas terbesar dunia dijangka meningkat 11.5 peratus tahun ke tahun pada 2018, dipacu terutamany­a oleh syarikat minyak nasional, terutamany­a di Asia Tenggara.

Disokong oleh pertumbuha­n kukuh dalam ekonomi maju dan sedang pesat membangun pada suku pertama 2018, permintaan minyak global dijangka meningkat dari tahun lepas sebanyak 1.65 juta tong sehari kepada 98.85 juta tong sehari.

“Kami jangka sektor luar pantai dan marin akan pulih perlahan-lahan daripada kelembapan sekarang dalam tempoh beberapa tahun lagi, di mana harga jualan kapal dan kadar sewa dijangka pulih,” kata Tiong. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia