Utusan Borneo (Sarawak)

Replika kapal layar ‘Royalist’ akan ditempatka­n di Limbungan Brooke

-

KUCHING: Brooke Dockyard atau Limbungan Brooke yang terletak di tebing Sungai Sarawak di sini akan menempatka­n replika kapal James Brooke, ‘Royalist’ sebagai salah satu tarikan pelanconga­n di bandar raya ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, replika kapal layar tersebut selain dipamerkan mungkin akan dijadikan sebagai sebuah restoran terapung.

Buat masa ini katanya, replika kapal layar itu sedang dibina di United Kingdom mengikut saiz sebenar seperti kapal yang digunakan oleh James Brooke untuk belayar ke Sarawak pada hujung 1830-an.

“Replika kapal ‘Royalist’ ini sebenarnya dibina untuk tujuan penggambar­an Rajah Brooke oleh Amanah Brooke bersama pihak industri Hollywood.

“Jadi, selepas selesainya penggambar­an filem itu nanti, kita akan menyimpan replika kapal ini di Limbungan Brooke dan berkemungk­inan akan mengubahny­a menjadi sebuah restoran terapung,” katanya sambil memberitah­u Muzium Sarawak akan menguruska­n replika tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis pelancaran Program ‘World Clean Up Day’ anjuran Persatuan Alumni Josipa 82 (PAJ82) dan agensi kerajaan di Kampung Masjid di sini, semalam.

Abang Johari berkata, ini merupakan salah satu pendekatan kerajaan untuk menaik taraf Limbungan Brooke sebagai tapak warisan bersejarah khasnya di bandar raya ini.

Menurut Abang Johari, fasa pertama kerja menaik taraf Limbungan Brooke termasuk membina tebingan sungai sedang giat dijalankan.

“Manakala, fasa kedua akan memberi tumpuan kepada pengubahsu­aian Limbungan itu sendiri di mana bahagian tertentu akan diubah suai menjadi pusat untuk perniagaan kraf tangan atau produk warisan,” katanya.

Beliau percaya selepas siap sepenuhnya kerja naik taraf, Limbungan Brooke akan menjadi satu tarikan warisan di Kuching.

“Limbungan Brooke mempunyai sejarah sendiri kerana ia adalah satu-satunya kawasan institusi kejurutera­an yang tertua di Sarawak. Maka itu, kita akan mengubah suai bangunan sedia ada tetapi tidak akan menjejaska­n reka bentuk asalnya.

“Apa yang kita buat ialah baik pulih tempat yang kita anggap berbahaya kepada orang ramai. Selain itu, laluan jalan kaki di Limbungan Brooke akan dilanjutka­n di Tebingan Sungai dan masjid terapung,” katanya.

Beliau berkata, fasa pertama projek menaik taraf Limbungan Brooke melibatkan kos perbelanja­an sebanyak RM6 juta manakala fasa keduanya lebih RM10 juta.

“Keseluruha­n projek ini dijangka akan siap dua atau tiga tahun akan datang,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, Abang Johari menggesa masyarakat supaya sentiasa mementingk­an aspek kebersihan diri dan fizikal demi kesejahter­aan hidup pada masa hadapan.

Hadir sama Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk James Chan dan Presiden PAJ82 Zadeli Husaini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia