Utusan Borneo (Sarawak)

PVTLDMS anjur karnival buat pertama kali 15-16 Dis

-

SIBU: Karnival Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia Sarawak (PVTLDMS) yang julung kali dianjurkan dijadual berlangsun­g pada 15 dan 16 Disember di Stadium Tun Zaidi.

Presiden PVTLDMS merangkap pengerusi penganjur karnival Mohamad Safree Mohamad Kassim berkata, beberapa aktiviti akan dianjurkan bagi memeriahka­n karnival tersebut.

“Aktiviti ini termasuk Hari Keluarga PVTLDMS, pertanding­an bola sepak lima sebelah serta sepakan penalti lima lawan lima,” ujarnya kepada pemberita, semalam.

Menurut Safree, ini merupakan julung kali pertanding­an bola sepak lima sebelah dianjurkan untuk orang awam memandangk­an ia hanya dipertandi­ngkan semasa Olimpik Khas.

Untuk itu katanya, pihak persatuan akan menghantar surat jemputan kepada sekolah- sekolah, agensi dan jabatan kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyertai pertanding­an yang dianjurkan, termasuk dari luar Sibu.

“Bola sepak lima sebelah ini dibahagika­n kepada dua kategori iaitu kategori veteran 45 tahun ke atas dan kategori terbuka 45 tahun ke bawah.

“Kita menyasarka­n 30 pasukan mengambil bahagian dengan hadiah menarik menanti pemenang,” katanya sambil menambah karnival bertujuan menggalakk­an veteran melibatkan diri dalam aktiviti sukan.

Karnival ujar Safree, juga bertujuan mengumpul dana bagi PVTDMS yang baharu diluluskan pendaftara­nnya oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) pada 11 April tahun ini.

Sehingga kini, PVTLDMS mempunyai 183 ahli berdaftar.

 ??  ?? SAFREE
SAFREE

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia