Utusan Borneo (Sarawak)

Isu perpaduan sentiasa jadi keutamaan kerajaan

-

TAWAU: Isu perpaduan tetap dan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dalam memastikan keharmonia­n kaum berkekalan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew berkata kerajaan negeri tidak pernah jemu berusaha memupuk semangat setia kawan serta perpaduan dalam kalangan rakyat majmuk Malaysia.

“Kita adalah rakyat Malaysia, walaupun berbeza nama, agama, dan budaya tetapi sifat hormat menghormat­i, saling percaya mempercaya­i, bertoleran­si serta bermuafaka­t adalah antara kunci kejayaan serta kemakmuran yang kita nikmati pada hari ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelanconga­n, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata demikian ketika berucap pada majlis perbarisan sempena Hari Malaysia peringkat perbandara­n Tawau di sini, semalam.

Beliau berkata kemerdekaa­n yang dicapai bukanlah sesuatu yang mudah, walaupun diperoleh tanpa melibatkan pertumpaha­n darah.

“Justeru itu, marilah kita berganding bahu melangkah serentak menuju ‘Gunung yang tinggi sama didaki, lurah yang dalam sama dituruni maka jadilah warganegar­a patriotik yang menjunjung tinggi perlembaga­an negara dan berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara,” katanya lagi.

Sementara itu Christina berkata Tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Sayangi Malaysiaku’ mencermink­an roh kesepaduan, kesefahama­n, kekitaan dan kemanusiaa­n seluruh rakyat di negara ini.

“Saya mengharapk­an agar kita semua dapat terus hidup dalam kepelbagai­an, harmoni, bersatu padu dan terpahat perasaan kasih sayang yang kukuh kepada Malaysia bertepatan dengan tema sambutan,” katanya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? TURUT SERTA: Sebahagian murid-murid Tadika Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional Tawau turut mengambil bahagian dalam perbarisan sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Perbandara­n Tawau, semalam.
— Gambar Bernama TURUT SERTA: Sebahagian murid-murid Tadika Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional Tawau turut mengambil bahagian dalam perbarisan sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Perbandara­n Tawau, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia