Utusan Borneo (Sarawak)

Ayam 30 sen seekor oleh syarikat Bismi jadi rebutan

-

ALOR SETAR: Orang ramai berebut membeli ayam yang ditawarkan pada harga 30 sen seekor oleh sebuah syarikat di Simpang Empat Kangkong di sini semalam.

Menurut Pengarah Eksekutif Syarikat Ayam Bismi Sdn Bhd, Mazlina Makaruddin, pihak syarikat menawarkan 150 ekor ayam pada harga yang tidak munasabah itu berbanding harga asal antara RM7.50 hingga RM8 sekilogram sebagai menghargai sokongan para pelanggan setia sempena ulang tahun ke 30 penubuhan syarikat itu.

“Ada pelanggan yang datang beratur seawal 6.30 pagi untuk mendapatka­n kupon pembelian ayam pada harga 30 sen, namun kaunter hanya dibuka pada jam 7.30 pagi dan dalam tempoh kurang sejam kupon tersebut telah habis.

“Bagi pelanggan yang tidak mendapat kupon, mereka masih boleh mendapatka­n ayam pada harga istimewa RM5.99 seekor berbanding harga biasa RM6.49 seekor dan untuk semalam di mana sebanyak 15,000 ayam disediakan bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan ulang tahun syarikat tersebut di pusat jualan Ayam Bismi di Simpang Empat Kangkong yang turut dihadiri Pengasas dan Pengerusi Ayam Bismi, Jaffri Ahmad.

“Jualan harga ayam yang murah ini bertujuan berkongsi rezeki dan memberi pulangan balik hasil perniagaan tersebut kepada pelanggan. Selain itu, hasil yang kita peroleh digunakan untuk kerja-kerja tanggangja­wab sosial korporat (CSR) seperti membantu naik taraf masjid,” katanya.

Mazlina berkata selain ayam pihaknya turut menghadi- ahkan 30 motosikal dan 300 periuk nasi elektrik kepada pelanggan dalam cabutan bertuah.

Sementara itu, pelanggan setia Ayam Bismi, Norbalqis Hasin, 34, dari Jitra terkejut apabila dimaklumka­n melalui panggilan telefon bahawa nama anaknya, Muhammad Adam Fariz Muhamad Iskandar, 8, terpilih sebagai pemenang cabutan bertuah sekali gus berjaya membawa pulang sebuah motosikal.

“Saya ada di rumah sebelum dapat panggilan dan dimaklumka­n anak menang cabutan bertuah. Tidak sangka kerana sebelum ini memang setiap kali kalau hendak pulang ke rumah ibu di Yan saya akan berhenti membeli ayam di Simpang Empat Kangkong ini.

“Saya selalu beli ayam Bismi ini sebab selain harga yang murah saya tahu ia bersih dan 100 peratus halal,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia