Utusan Borneo (Sarawak)

Pope lawat Sicily, penghormat­an kepada paderi dibunuh mafia

-

PALERMO: Pope Francis melawat Pulau Sicily di Itali semalam untuk memberi penghormat­an kepada seorang paderi yang dibunuh oleh mafia (kumpulan penjenayah Itali) 25 tahun lalu selepas paderi itu cuba menyelamat­kan golongan muda di kawasan kejiranan miskin daipada terjatuh ke dalam tangan mereka.

Lawatan pemimpin Gereja dari Argentina itu singkat sahaja tetapi merupakan sebahagian daripada kempen lebih luas yang beliau telah lancarkan ke atas jenayah terancang.

Beliau tiba di Palermo pada jam 10.45 pagi (waktu tempatan) dan merayakan sembahyang Misa sebelum beliau berlepas ke paroki Palermo di mana Father Giuseppe ‘Pino’ Puglisi tinggal. Beliau kembali ke Rom pada awal petang.

Puglisi, yang dikenali sebagai “martir pertama Mafia”, ditembak mati pada 15 September 1993, ulang tahun hari jadinya yang ke-56.

Beliau dikatakan menyebut kata-kata terakhirny­a kepada pembunuhny­a, “Saya telah menunggu anda”, sebelum beliau meninggal dunia di luar pintu rumahnya yang sederhana.

Pembunuhan­nya berlaku pada waktu Itali sudah pun trauma disebabkan oleh pembunuhan dua hakim antiMafia, Giovanni Falcone dan Paolo Borsellino.

Selama dua tahun sebelum beliau ditembak mati, Puglisi telah menjadi paderi paroki di kawasan kejiranan Brancaccio yang sukar di Palermo, di mana beliau cuba mendekati belia tempatan dan menjauhkan mereka daripada dadah dan kumpulan mafia yang membekalka­nnya.

Pada 2012, paus sebelum Francis, Benedict XVI secara rasmi mengiktira­f Puglisi sebagai seorang “martir” yang “dibunuh oleh kebencian kepada kepercayaa­n kita”.

Pada tahun berikutnya, beliau diisytihar­kan sebagai berbahagia atau dirahmati ( beatified) di hadapan 40 uskup dan 750 paderi selain menteri keadilan dan menteri dalam negeri Itali.

Beatifikas­i merupakan langkah pertama dalam laluan kepada pengisytih­aran kekudusan (sainthood) dalam Gereja Roman Katolik.

Sejak beliau menjadi paus pada 2013, Francis telah bersemuka secara terbuka dengan kumpulan mafia, selalunya penderma dan anggota yang aktif dalam paroki Katolik dan menyeru kepada umat untuk menghentik­an semua kerjasama dengan mereka.

Pemimpin Gereja itu sudah melawat Naples dan Calabria, tempat-tempat Cosa Nostra lain di selatan Itali.

Pada 2015 di Naples, wilayah kejam milik sindiket jenayah terancang paling lama di negara itu, kumpulan Camorra, beliau mengecam mereka “yang mengambil kesempatan dan merosakkan orang muda, orang miskin dan golongan yang kurang bernasib baik”.

“Rasuah berbau busuk! Dan masyarakat yang korup berbau busuk. Orang Kristian yang membiarkan rasuah untuk masuk bukanlah orang Kristian. Mereka berbau busuk,” katanya dalam satu ucapan yang marah.

Di Calabria, beliau menyeru kepada masyarakat Katolik untuk menentang kumpulan dari Calabria yang dikenali sebagai kumpulan ‘Ndrangheta.

“Mereka yang dalam kehidupan mereka mengikuti jalam kejahatan ini, seperti apa yang dibuat oleh kumpulan mafia, tidak hidup dalam kesatuan dengan Tuhan,” kata paus itu ketika beliau melawat Calabria.

“Mereka disingkirk­an dari gereja,” beliau mengisytih­arkan sambil disambut oleh tepukan gemuruh daripada 100,000 hadirin.

Penyingkir­an (excommunic­ation) merupakan hukuman paling berat bagi orang Katolik, yang diasingkan daripada kehidupan rohani dan sakramen gereja.

Uskup tempatan sudah menyingkir­kan ahli mafia tetapi Vatikan sedang menimbang untuk mewujudkan doktrin baharu yang menyingkir­kan ahli kumpulan jenayah terancang di seluruh dunia.

Paus sering mengecam “wang yang dicemari darah, yang membawa kepada kuasa jahat” dan menyeru kepada kumpulan mafia utuk “mengubah kehidupan anda. Beru- bah hati. Berhenti melakukan kejahatan”.

Kenyataann­ya membawa kembali ingatan kepada ucapan marah oleh Pope John Paul II di bandar Agrigente, Sicily, pada 1993 apabila beliau menyeru kepada anggota samseng untuk “mengubah hati diri sendiri!” dan menggesa rakyat jelata di Sicily untuk menentang kumpulan mafia.

Kumpulan ‘Sicilian Godfathers’ membalas dua bulan kemudian dengan serangan ke atas dua bangunan gereja Katolik.

Walaupun demikian, perhubunga­n di antara gereja dengan kumpulan jenayah terancang sering kabur.

Bank di Vatikan, Institut Kerja Keagamaan ( IOR), menjadi terkenal selepas kematian Roberto Calvi, dikenali sebagai “pegawai bank Tuhan” kerana kaitannya dengan Vatikan, pada 1982, di mana mayatnya telah dijumpai digantung dari Blackfriar­s Bridge di London.

Pendakwa raya percaya ia adalah satu pembunuhan mafia yang ada kaitan dengan pengubahan wang menerusi bank tersebut.

Cubaan juga pernah diusahakan untuk menyogok atau mempengaru­hi paderi selain menyalahgu­nakan sumber dari institusi dan badan amal kebajikan, serta persoalan berhubung pembelian hartanah Vatikan pada masa lalu.

Di selatan Itali, perarakan keagamaan kadang-kadang berhenti di luar kediaman seorang ketua mafia tempatan.

Namun beberapa uskup tempatan telah mengambil pendirian.

Pada tahun lepas Uskup di Monreale, dekat Palermo, menjadi bahan berita utama apabila beliau mengkritik seorang paderi yang membenarka­n anak lelaki salah seorang samseng paling kejam di Sicily, Toto Riina, untuk menjadi bapa pembaptisa­n di satu upacara pembaptisa­n.

Pada hujung 2016, seorang paderi di selatan Itali, yang mahu merayakan sembahyang misa bagi memperinga­ti seorang ketua mafia ‘Ndrangheta yang dibunuh di Quebec, telah dimarahi datuk bandar, uskup agung dan anggota parokinya.

 ?? — Gambar AFP ?? SELAMAT TIBA: Pope Francis melambai kepada jemaat ketika beliau tiba di Piazza Armerina, tengah Sicily semalam.
— Gambar AFP SELAMAT TIBA: Pope Francis melambai kepada jemaat ketika beliau tiba di Piazza Armerina, tengah Sicily semalam.
 ?? — Gambar AFP ?? TINGGAL KENANGAN: Gambar mendiang paderi Pino Puglisi digambar dalam muzium rumah bersejarah dan pusat sambutan ‘Padre Nostro’ di dalam daerah Brancaccio di Palermo, Sicily kelmarin sehari sebelum paus melawat keuskupan tersebut.
— Gambar AFP TINGGAL KENANGAN: Gambar mendiang paderi Pino Puglisi digambar dalam muzium rumah bersejarah dan pusat sambutan ‘Padre Nostro’ di dalam daerah Brancaccio di Palermo, Sicily kelmarin sehari sebelum paus melawat keuskupan tersebut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia