Utusan Borneo (Sarawak)

Ringgit dijangka meningkat kukuh dalam enam bulan akan datang: Tony

-

SINGAPURA: “Kami amat percaya ringgit akan meningkat dengan kukuh dalam tempoh enam bulan akan datang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

“Kami juga percaya pada dasarnya, ringgit adalah di bawah nilai,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di luar acara Sidang Kemuncak Singapura 2018, di sini, semalam.

Fernandes berkata demikian apabila ditanya sama ada prestasi lemah ringgit ketika ini menjejaska­n operasi AirAsia.

“Sudah tentunya ringgit mempunyai pendedahan tetapi kita tidak begitu bimbang kerana kita juga memperoleh pendapatan dari negara lain, mata wang asing,” katanya.

Beliau berkata kelemahan ringgit dan mata wang Asia lain telah diimbangi oleh mata wang lain yang lebih kukuh.

“Kurang masalah bagi kami,” katanya yang berada di sini menghadiri sidang kemuncak tersebut sebagai seorang daripada ahli panel di sesi pleno yang membincang­kan ‘Asia Tenggara : Kebangkita­n Ekonomi Digital dan Pasaran Konsumer Tunggal’.

Semasa ditanya paras ringgit yang wajar bagi syarikat penerbanga­n itu,Fernandes berkata: “Setiap paras adalah selesa bagi kami, Kami akan sentiasa mencari jalan.”

Pada Jumaat, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata ringgit Malaysia berada di bawah nilai dalam keadaan penurunan yang juga menjejaska­n mata wang pasaran sedang pesat membangun.

Beliau berkata ringgit, bersama dengan mata wang beberapa negara lain, merosot susulan ketegangan perdaganga­n antara Amerika Syarikat dan China, antara lainnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia