Utusan Borneo (Sarawak)

PKR Lubok Antu dikhuatiri bergolak, wujud dua kem

-

KUCHING: Kesetiaan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) mula dicurigai ahli parti itu di konstituen­si tersebut.

Ia apabila beliau menubuhkan sebuah lagi pusat khidmat PKR di kawasannya, yang merupakan milik bekas Ahli Parlimen terdahulu, Datuk William Nyalau Badak.

Menurut Ketua Penerangan PKR Cabang Lubok Antu Mohamad Hanif Tay Abdullah, tindakan Jugah itu jelas menggambar­kan bahawa beliau bukannya menyertai PKR secara ikhlas dan sukarela seperti dinyatakan sebelum ini.

“Banyak persepsi negatif timbul daripada penyokong lama PKR termasuk menganggap beliau (Jugah) menyertai PH kerana terpaksa bukan dengan rela hati,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohamad Hanif mendakwa, Jugah juga dilihat seolah-olah cuba mengumpul kumpulan penyokong sendiri, tanpa mengambil berat terhadap ahli PKR yang lain.

Katanya Ahli Parlimen itu sering dilihat bersama penyokong dalam kalangan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang merupakan bekas parti komponen BN Sarawak - kini dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau menambah, Jugah dilihat lebih mengutamak­an para penyokong daripada parti itu berbanding ahli PKR Cabang Lubok Antu.

“Beliau (Jugah) telah mewujudkan ahli jawatankua­sa PKR yang baharu tanpa disedari AJK yang sah atau dilantik penyokong PKR lain.

“Tindakanny­a itu telah mewujudkan perpecahan sokongan akibat wujud dua kem dalam PKR Lubok Antu iaitu kumpulan ahli PKR lama dan baharu,” ujarnya.

Mohamad Hanif berkata, keadaan itu jika dibiarkan akan menyebabka­n pecahan undi daripada penduduk kawasan Parlimen berkenaan, sekali gus memberi kelebihan kepada GPS menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.

Jugah merupakan bekas ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS), juga bekas parti komponen BN Sarawak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau memenangi Parlimen Lubok Antu pada PRU14 menggunaka­n tiket Bebas mengalahka­n dua pencabarny­a iaitu Robert Pasang Alam ( BN) dan Nicholas Bawin Anggat (PKR).

Dalam pada itu, sumber menyebut kemenangan Jugah bukan disebabkan kekuatan beliau sebaliknya daripada undi protes terhadap penolakan pencalonan bekas penyandang, Datuk William Nyalau Badak serta pengundi bebas yang mahu memberi isyarat bahawa suara akar umbi penting dalam menentukan kemenangan calon.

Keputusan tersebut juga jelas mengkhiana­ti harapan pengundi yang lebih selesa melihat beliau sebagai wakil Bebas dan pro kerajaan Negeri yang kemungkina­n mendapat peruntukka­n besar daripada kerajaan Negeri berbanding apa yang diperolehi­nya dari kerajaan pusat.

Pada 14 Mei lalu, beliau memilih menyertai PKR atas alasan yakin parti itu merupakan landasan terbaik untuknya memperjuan­gkan suara rakyat.

 ??  ?? DUA KEM? Kumpulan didakwa penyokong Jugah yang mengadakan mesyuarat tanpa menjemput ahli PKR Cabang Lubok Antu yang lama bergambar selepas mengadakan perjumpaan semalam.
DUA KEM? Kumpulan didakwa penyokong Jugah yang mengadakan mesyuarat tanpa menjemput ahli PKR Cabang Lubok Antu yang lama bergambar selepas mengadakan perjumpaan semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia