Utusan Borneo (Sarawak)

30 pasangan dirai pada Majlis Nikah Jamaie Syarie di Perak

-

IPOH: Seramai 30 pasangan pengantin selamat diijabkabu­lkan secara beramai-ramai dalam Program Majlis Nikah Jamaie Syarie peringkat negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah di Jalan Raja Musa Mahadi di sini, semalam.

Program anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) itu bertujuan mengimarah­kan masjid sebagai lokasi pernikahan selain membantu pasangan yang kurang berkemampu­an untuk mendirikan rumah tangga.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata pasangan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM2,000 sebagai kos majlis keraian, pakaian, penginapan di hotel serta dokumen pernikahan.

“Dengan adanya program seperti ini dapat menjimatka­n masa, tenaga serta wang bagi pasangan pengantin yang baru mendirikan rumah tangga,” katanya kepada pemberita pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Mohd Yusop berkata sehingga kini, hampir 200 pasangan telah berjaya disatukan sebagai suami isteri sejak program itu dianjurkan pada 2013.

Dalam pada itu, Aisyah Loo Mee Hong, 26, seorang mualaf menyifatka­n pernikahan secara beramai- ramai satu pengalaman yang menyeronok­kan. “Malah, ia memudahkan urusan pernikahan dan dapat meringanka­n perbelanja­an bagi pasangan yang kurang berkemampu­an,” katanya yang bernikah dengan Mohd Khair Isa, 31.

Bagi pasangan adik beradik, Nur Shafika Adira Mohd Ramli, 24, serta adiknya Muhamad Airis Danial, 21, turut menyertai majlis berkenaan untuk melangsung­kan pernikahan secara serentak.

Nur Shafika Adira berkata mereka berdua beradik memutuskan untuk menyertai majlis tersebut selepas mengadakan perbincang­an dengan keluarga pasangan masing-masing sejak setahun lalu.

“Kos persiapan tak sampai RM3,000, pasangan hanya perlu membayar RM2,000 kepada pihak penganjur selain menyediaka­n mas kahwin dan cincin sahaja,” katanya yang bernikah dengan Mohamed Amirul Akram Mohamed, 24.

Muhamad Airis Danial dan pasanganny­a Nor Ain Alia Najiha Fauzi, 20, turut bersyukur apabila pernikahan mereka berlangsun­g dengan meriah walaupun tanpa perbelanja­an yang besar. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia