Utusan Borneo (Sarawak)

Terengganu tidak anggap pusat lengah bayaran royalti minyak

-

KUALA NERUS: Kerajaan Terengganu tidak menganggap tempoh enam bulan yang diambil oleh kerajaan pusat untuk memperhalu­si kaedah pembayaran 20 peratus royalti kepada negeri pengeluar minyak sebagai satu usaha melengahka­n janji manifesto.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau amat menghargai usaha kerajaan pusat mencari jalan bagi menyalurka­n 20 peratus royalti kepada negeri yang terlibat sepertiman­a yang dinyatakan dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu.

“Kita hargai apa yang mereka cuba buat. Tinggal lagi sebelum daripada tempoh kajian, perjanjian sedia ada berjumlah lima peratus yang diterima oleh kerajaan negeri Terengganu sebelum ini yang tidak kurang daripada RM1 bilion hingga RM2 bilion setiap tahun mestilah berjalan seperti biasa.

“Jadi kita menjangkak­an tentulah sekiranya kajian yang baru dibuat, keputusan akhir jumlahnya mestilah tidak berkuranga­n daripada yang diterima sekian lama iaitu sejak 1974.

“Kalau tidak, apa makna sebuah janji manifesto oleh kerajaan baharu jika jumlah yang diterima lebih kecil daripada yang diterima sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Muktamar Tahunan PAS Ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di sini, semalam.

Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri berpendiri­an bahawa tugas mengkaji kaedah pembayaran royalti itu tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan pusat dan tidak perlu dipertikai­kan.

“Saya bersangka baik bahawa itu adalah hasrat mereka untuk membuat pertimbang­an baharu. Dia orang nak ambil masa setahun nak kaji pun tak apa yang penting yang lepas tu (bayaran sebelum ini) harus berjalan seperti biasa.

“Kita sedang menunggu akhir bulan ini atau awal bulan depan untuk menerima wang royalti sebanyak lima peratus mengikut perjanjian seperti yang diterima sebelum ini,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga sudah menerima minit mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang mengiktira­f bahawa penerimaan yang bersangkut­an dengan hasil minyak dinamakan sebagai wang royalti dan bukannya wang ihsan yang disalurkan terus kepada akaun negeri. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia