Utusan Borneo (Sarawak)

Secangkir kopi penyatu kaum

-

KOTA BHARU: Berkongsi meja dengan pelanggan berbangsa lain untuk menikmati secawan kopi dan roti dibakar dengan arang telah menjadi kebiasaan buat Nasser Noor, 64.

Mesra disapa Abang Mat, Nasser juga terkenal dengan gelaran ‘otai’ di kedai kopi Kuan Heong Huan atau lebih dikenali sebagai Kedai Kopi Pota di Jalan tengku Petra Semerak di sini.

Manakan tidak, beliau mula menjadi ‘ pencandu’ kopi di kedai tersebut sejak lebih 20 tahun ketika perniagaan tersebut masih diusahakan oleh ayah kepada pemilik kedai, Tan Kiat Eng, 50.

“Banyak kedai yang saya pergi tetapi kopi di kedai ini kena dengan cita rasa saya. Bagi saya inilah kedai ‘Star Buck’ di Kota Bharu yang meriah dengan riuh rendah suara pelanggann­ya yang bercakap dalam bahasa masing-masing,” katanya kepada Bernama di sini, kelmarin.

Nasser berkata, layanan dan gurau senda yang dirasainya sejak sekian lama itu menjadikan dirinya cukup selesa berkunjung ke kedai kopi itu apatah lagi semua pekerjanya adalah orang Melayu.

Katanya, kedai itu juga menemukann­ya dengan ramai kawan berbangsa Cina sehingga kini menjadi rakan karibnya.

“Kadang-kadang bila saya kelihatan agak diam kerana memikirkan perkara atau masalah tertentu mereka akan mengusik saya sehingga akhirnya saya akan kembali ceria dengan keletah mereka, sekali gus menjadikan kami lebih rapat,” katanya.

Bagi Nasser, suasana itu amat membahagia­kannya dan ia masih kekal begitu hingga ke hari ini.

Perasaan yang sama turut dizahirkan oleh seorang lagi pelanggan, Danny Chan, 40, yang memberitah­u beliau tidak pernah berasa kekok untuk duduk semeja dengan bangsa lain setiap kali berkunjung ke kedai Tan yang lebih dikenali sebagai Ah Hock itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia