Utusan Borneo (Sarawak)

Jamal mengaku tidak bersalah tinggalkan negara secara haram

-

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini, semalam atas pertuduhan meninggalk­an negara ini secara haram, Mei lalu.

Jamal, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali.

Mengikut pertuduhan, Jamal didakwa tanpa sebab yang munasabah telah meninggalk­an Malaysia tanpa melalui laluan yang dibenarkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hospital KPJ Ampang Puteri, di sini, pada 25 Mei lalu mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen pindaan 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 57 akta sama yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap Jamal.

Bagaimanap­un, peguam Datuk Mohd Imran Tamrin yang mewakili Jamal memohon jaminan munasabah berdasarka­n hukuman yang diperuntuk­kan atas kesalahan ini adalah denda maksimum RM10,000.

“Anak guam saya turut menghadapi beberapa kes lain di mahkamah ini dan sudah membayar jaminan lebih RM20,000, oleh itu mohon pertimbang­an mahkamah,” katanya.

Mahkamah membenar- kan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Sept untuk sebutan semula kes.

Pada 25 Mei lalu, Jamal menghilang­kan diri selepas didakwa di hospital itu atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunaka­n penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, tahun lepas.

Jamal dimasukkan ke hospital itu kerana masalah tulang belakang dan pertuduhan terhadapny­a dibacakan di hospital berkenaan.

Pada 11 Julai lalu, Jamal didenda maksimum RM400 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu di Mahkamah Majistret Shah Alam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia