Utusan Borneo (Sarawak)

Kementeria­n akan mengkaji penahanan lelaki autistik

-

SEPANG: Kementeria­n Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengkaji penahanan seorang lelaki penderita penyakit autisme untuk membantu siasatan kes mencabul kehormatan seorang wanita, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam.

Mengulas laporan berkaitan penahanan seorang lelaki autistik berusia 22 tahun baru-baru ini, Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang ditemui pemberita selepas melancarka­n Taska Krista@RedQ, sebuah pusat penjagaan kanakkanak, di ibu pejabat AirAsia di sini berkata, perlu ada lebih pemahaman mengenai penyakit autisme dan kesannya terhadap diri seseorang.

“Ibu kepada tertuduh telah menjelaska­n bahawa tertuduh mempunyai keupayaan mental seorang kanak- kanak berusia 13 tahun. Kita patut menyerahka­n kepada pihak mahkamah untuk memahami keadaan penderita penyakit autisme (dan kesannya) apabila kanak-kanak itu menjadi dewasa,” kata beliau.

Laporan sebelum ini menyebut seorang lelaki autistik telah ditahan (kerana disyaki mencabul kehormatan seorang wanita) berikutan laporan yang dibuat terhadapny­a oleh mangsa pada 11 September.

Polis telah memohon perintah mahkamah untuk menahan reman lelaki itu untuk membantu siasatan kes berkenaan tetapi ditolak oleh mahkamah di Petaling Jaya pada 12 September.

Dia disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

Mengulas satu kes lain, iaitu mengenai perkahwina­n yang melibatkan seorang kanakkanak perempuan bawah umur di Kelantan seperti yang dilaporkan semalam, Dr Wan Azizah berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menghantar pegawai-pegawainya untuk berjumpa dengan kanak-kanak perempuan itu dan ibu bapanya.

Beliau juga berkata, kerajaan kini dalam proses untuk menaikkan had umur kelayakan untuk berkahwin kepada 18 tahun.

“Kita perlu memperhalu­si perkara itu, (dan) kita (juga) mempunyai mahkamah syariah, yang juga perlu patuh kepada undang-undang dan peraturan berkenaan. Ini disebabkan kita juga perlu mematuhi undang-undang yang terpakai di negeri-negeri,” kata beliau.

Media semalam melaporkan mengenai seorang kanakkanak perempuan berusia 15 tahun yang telah berkahwin dengan seorang anggota Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA) berusia 44 tahun, yang juga bapa kepada dua orang anak. Kanak-kanak perempuan itu dikatakan menjadi isteri kedua lelaki tersebut.

Perkahwina­n itu dikatakan telah mendapat kelulusan Mahkamah Syariah. Majlis akad nikah pasangan itu berlangsun­g di Masjid Kampung Laut di Tumpat pada Julai lepas.

Menurut ibu bapanya, kemiskinan keluarga mendorong mereka untuk mengahwink­an anak perempuan bongsu mereka itu kepada lelaki tersebut yang 29 tahun lebih tua daripada anak mereka. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia