Utusan Borneo (Sarawak)

Penerjun negara tepati ramalan rangkul emas

-

IPOH: Penerjun negara, Hanis Nazirul Jaya Surya menepati ramalan apabila merangkul pingat emas pertama hari kedua acara terjun Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 di Pusat Akuatik Tuanku Zara di sini semalam.

Hanis Nazirul meyumbang pingat emas buat Wilayah Persekutua­n menerusi acara 1 Meter Papan Anjal Lelaki dengan mengumpul 350.25 menewaskan penerjun Selangor Ikhlas Ahmad Sharol dan Sarawak yang diwakili Enrique M Harold dengan masing- masing mencatat 331.85 dan 313.30 mata.

Penerjun muda berusia 17 tahun itu berkata beliau berpuas hati dengan prestasi cemerlang beliau pada hari ini dan akan melipatgan­dakan usaha dan latihan di masa hadapan bagi terpilih dalam skuad kebangsaan untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Selangor pula berjaya menambah koleksi emas acara terjun apabila Adeline Chin Wei Ling, 19, merangkul pingat emas dengan mencatat 243.15 mata dalam acara 1 Meter Papan Anjal Wanita manakala rakan sepasukann­ya, Erica Pan Ying Xin, 15, meraih perak dengan mata keseluruha­n 240.80.

Ketika ditemui Adeline berkata beliau telah lima kali menyertai Sukma dan ini merupakan pingat emas kedua yang dimenangin­ya dalam temasya dwitahunan itu.

“Kali pertama saya mendapat pingat emas ketika berganding­an dengan Koh Hui Yang dengan catatan 231.36 mata dalam acara 3 Meter Papan Anjal Seirama pada SUKMA ke-18 di Sarawak, dua tahun lepas,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada jurulatih, pengurus pasukan dan Persatuan Renang Amatur Selangor kerana banyak memberi motivasi kepadanya.

Terdahulu, Selangor menyambar emas pertama pada hari kedua acara terjun menerusi gandingan adik beradik Muhammad Syahmi Mohd Rezal, 17, dan Muhammad Haris Mohd Rezal, 13, meraih mata tertinggi 313.68 mata dalam acara Terjun Platform Seirama Lelaki. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia