Utusan Borneo (Sarawak)

RM2.6B: NAJIB DITAHAN SPRM, DIJANGKA DIDAKWA HARI INI

-

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam ditahan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes 1Malaysia Developmen­t Bhd (1MDB) berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau.

SPRM dalam satu kenyataan semalam berkata, penahanan itu dibuat kira-kira jam 4.13 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Menurut SPRM, Najib bakal menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

Najib akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi pertuduhan di mahkamah, kata SPRM.

SPRM berkata, pihaknya akan bekerjasam­a dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi merakam percakapan Najib sebelum beliau dibawa ke mahkamah hari ini bagi membantu siasatan pihak polis mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Najib dilaporkan tiba di ibu pejabat SPRM pada kira-kira jam 3 petang semalam selepas dipanggil suruhanjay­a itu bagi memberi keterangan berhubung kes tersebut.

Bagaimanap­un, kira-kira 20 petugas media yang menunggu di pekarangan bangunan SPRM itu gagal merakamkan kelibat Najib memasuki premis berkenaan.

Najib sebelum ini telah didakwa di mahkamah atas tujuh pertuduhan.

Pada 4 Julai lepas, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitka­n dana berjumlah RM42 juta milik SRC Internatio­nal Sdn Bhd.

Pada 8 Ogos pula, bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC Internatio­nal Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas. — Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia