Utusan Borneo (Sarawak)

Peguam wanita didakwa pecah amanah

-

KUALA LUMPUR: Seorang peguam wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan melakukan pecah amanah iaitu menyalahgu­nakan wang RM750,000 milik pengarah syarikat berhubung pembelian saham.

Ling Lae Feei, 51, yang merupakan ibu tunggal dua anak, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Dia didakwa sebagai ejen iaitu peguam yang diamanahka­n dengan wang sebanyak RM750,000 telah melakukan pecah amanah jenayah dengan curangnya menyalahgu­nakan wang itu untuk kegunaan sendiri di tingkat 12, Wisma Zelan, Jalan Tasik Permaisuri 2, Bandar Tun Razak, Cheras, di sini pada 28 Disember 2016.

Pertuduhan dikemukaka­n mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum tidak menawarkan sebarang wang jaminan namun berkata jika mahkamah membenarka­n tertuduh diikat jamin, beliau memohon jumlah tidak kurang daripada RM30,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahka­n pasport kepada mahkamah.

Peguam Jadadish Chandra yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarka­n jaminan dengan alasan anak guamnya perlu menyara dua anak iaitu anak perempuan berusia 22 tahun yang sedang belajar di United Kingdom dan anak lelaki berusia 24 tahun yang baharu mula bekerja selain menyara anak saudara yang menghidap autisme.

Mahkamah membenarka­n tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan mengarahka­n tertuduh menyerahka­n pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta menetapkan 19 Oktober untuk sebutan semula kes. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia