Utusan Borneo (Sarawak)

Polis tahan 30 warga asing disyaki terlibat ‘African Scam’

-

SHAH ALAM: Polis menahan 30 warga asing termasuk tiga wanita yang dipercayai terlibat dalam kegiatan ‘ African Scam’ menerusi serbuan di beberapa lokasi sekitar Selangor pada Ogos lepas dan bulan ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata dalam serbuan di empat premis kediaman di Petaling Jaya, seramai 14 warga asing diberkas terdiri daripada 12 warga Nigeria, seorang warga Uganda dan seorang warga Sierra Leone.

Katanya, daripada serbuan itu, sebanyak lapan komputer riba, 23 telefon bimbit, tujuh router, satu pemacu pena dan sebuah tablet jenama Samsung turut dirampas.

“Pada masa sama, polis turut berjaya memberkas 16 warga asing terdiri daripada 15 warga Nigeria dan seorang warga Filipina dalam serbuan di tujuh lokasi berlainan di sekitar Bandar Sunway di Petaling Jaya, Batu 9 di Cheras dan Serdang.

“Dalam serbuan itu, sebanyak 34 buah telefon bimbit, sebuah tablet jenama Samsung dan sebuah i-Pad turut dirampas,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, semalam.

Menurut Mazlan, dengan penahanan tersebut, pihaknya berjaya menyelesai­kan siasatan 13 kes ‘African Scam’ melibatkan kerugian yang dialami mangsa berjumlah RM371,420.

Kata beliau, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi tempoh awal tahun ini sehingga 15 Sept lepas, sebanyak 262 kes ‘African Scam’ yang melibatkan penipuan ‘ parcel scam’, ‘love scam’ dan ‘penipuan wasiat’ dilaporkan membabitka­n kerugian berjumlah RM16.9 juta.

“Kita telah nasihat berkali-kali, namun masih berlaku banyak kes seperti ini. Barubaru ini, seorang doktor wanita berusia 26 tahun menjadi mangsa penipuan seorang doktor palsu yang dikenali menerusi sebuah laman web, di mana beliau jatuh cinta dengan suspek dan telah membuat 13 kali transaksi pembayaran sebanyak RM70,000 kepada lelaki itu.

“Justeru orang ramai dinasihat supaya berhatihat­i dalam menggunaka­n aplikasi media sosial dan tidak mudah terpedaya dengan apa jua tindakan yang diminta oleh sahabat di media sosial. Turut diingatkan bahawa tindakan menyerahka­n akses akaun perbankan bersama nombor pin kepada penjenayah boleh menyebabka­n pemilik akaun tersebut dikenakan tindakan di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan,” katanya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? KEJAYAAN: ACP Baharudin (empat kiri) bersama Supt Nek Zaidi (tiga kiri) dan pegawai polis pada sidang media berkaitan rampasan arak haram di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, semalam.
— Gambar Bernama KEJAYAAN: ACP Baharudin (empat kiri) bersama Supt Nek Zaidi (tiga kiri) dan pegawai polis pada sidang media berkaitan rampasan arak haram di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia