Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki ditemui mati di bilik hotel terkemuka

-

KUCHING: Seorang lelaki ditemui mati di dalam bilik sebuah hotel terkemuka di pusat bandar raya ini semalam.

Ketua Polis Daerah ACP Ng Ah Lek berkata, mangsa yang berusia 32 tahun dan berasal dari Dalat itu baharu tiba dari Singapura pada 16 September lalu kerana perlu menghadiri majlis perkahwina­n rakannya pada 17 September iaitu kali terakhir mangsa dilihat.

Menurutnya, mangsa gagal dihubungi oleh saudaranya sejak hari tersebut menyebabka­n dia terpaksa mendapatka­n bantuan pihak hotel untuk memasuki bilik penginapan mangsa sekitar jam 12.30 pagi semalam.

“Pihak hotel terpaksa mengambil keputusan untuk membuka pintu bilik tersebut dan menemui mangsa dalam keadaan terbaring serta tidak sedarkan diri menyebabka­n mereka terus menghubung­i pihak polis dan hospital.

“Pemeriksaa­n oleh pegawai perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) bagaimanap­un mengesahka­n mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ng selain itu turut memberitah­u siasatan awal juga mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan di tubuhnya.

“Mangsa dipercayai sakit dan turut ditemui ialah beberapa ubat di atas meja bilik yang didiaminya,” katanya.

Sementara itu, siasatan oleh Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) turut dijalankan di tempat kejadian.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga mendapati kali terakhir mangsa dilihat ialah pada 17 September sekitar jam 2.45 pagi setelah dihantar oleh sepupunya di lobi hotel dan tiada sebarang pergerakan keluar mangsa selepas itu,” katanya.

Mayat mangsa yang bekerja sebagai tukang masak di Singapura itu kemudian dihantar ke Unit Perubatan Forensik HUS untuk bedah siasat dan kes setakat ini diklasifik­asikan sebagai mati mengejut (SDR).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia