Utusan Borneo (Sarawak)

Pakar bedah AS, teman wanita disyaki rogol ‘ratusan’ mangsa

-

LOS ANGELES: Seorang pakar bedah ortopedik di California yang pernah muncul dalam satu rancangan realiti berpacaran dan teman wanitanya telah didakwa memberi dadah serta menyerang secara seksual dua wanita, dalam satu kes disyaki oleh pihak pendakwaan mungkin melibatkan ratusan mangsa lain.

Pihak berkuasa memaklumka­n AFP kelmarin bahawa mereka telah menerima beberapa petunjuk dalam siasatan tersebut, hanya beberapa jam selepas satu sidang media diadakan untuk cuba menggalakk­an wanita lain agar tampil ke depan.

“Saya telah dimaklumka­n oleh penyiasat bahawa telefon mereka menjadi sangat aktif pada tengah hari ini,” kata Michelle Van Der Linden, seorang jurucakap bagi pihak pendakwaan Orange County.

“Orang ramai telah menghubung­i dengan maklumat tambahan dan kami sedang sibuk mengesan semua petunjuk tambahan.”

Pakar bedah tersebut, Grant William Robicheaux berusia 39 tahun, dan teman wanitanya berusia 31 tahun, Cerissa Laura Riley, didakwa pada 11 September dengan kesalahan merogol serta kesalahan berkaitan dengan senjata berhubung dengan dua serangan tersebut.

Namun penyiasat menemui beratus-ratus rakaman video di dalam telefon Robicheaux selepas dia ditangkap, menunjukka­n wanita “dalam beberapa keadaan tanpa pakaian, tidak sedarkan diri dan diserang,” menurut Van Der Linden.

“Kami masih lagi memeriksa rakaman video ini.”

Robicheaux – yang pernah muncul dalam rancangan televisyen Bravo “Online Dating Rituals of the American Male” – dan Riley dijangka akan didakwa pada 25 Oktober.

Peguam Daerah Orange County Tony Rackauckas memberitah­u wartawan bahawa

Robicheaux dan Riley telah dipercayai bertindak bersama-sama di beberapa restoran dan bar bagi mengenal pasti mangsa mereka dan membuatkan mereka berasa selesa.

“Kami mempercaya­i defendan telah menggunaka­n wajah tampan dan cantik serta tarikan bagi mendapat perhatian mangsa mereka yang berpotensi,” menurut Rackauckas.

“Kita semua telah mendengar kisah serigala yang menyamar dengan kulit kambing biri-biri. Maka, seekor serigala boleh memakai pakaian orang biasa atau doktor. Atau seekor serigala boleh juga menjadi seorang wanita cantik.”

Pasangan itu dikatakan telah menggunaka­n ekstasi, dadah untuk merogol dan kokain bagi melemahkan mangsa sebelum menyerang mereka di rumah Robicheaux di Newport Beach, tambah beliau.

Pihak berkuasa menyatakan Robicheaux dan Riley telah pergi ke beberapa festival sejak 2015, termasuk ‘Burning Man’ di Nevada, selain beberapa mercu tanda di Arizona, di mana mereka mungkin telah mengintai wanita lain sebagai mangsa.

“Mereka mengetahui tentang tuduhan ini selama beberapa bulan, dan setiap seorang daripada mereka akan secara rasmi menafikan tuduhan tersebut ketika kehadiran pertama mereka di mahkamah,” kata peguam Robicheaux, Philip Cohen, dan peguam Riley, Scott Borthwick.

“Dr Robicheaux dan Cik Riley mempercaya­i bahawa tuduhan sebegitu akan menjejaska­n dan secara berbahaya meremehkan mangsa sebenar serangan seksual, dan mereka teruja untuk menarik perhatian kepada kes ini dalam satu perbicaraa­n awam,” jelas mereka.

Sekiranya disabitkan, Robicheaux berdepan hukuman penjara selama 40 tahun. Riley akan berdepan hukuman penjara selama 30 tahun.

Rackauckas berkata mangsa pasangan itu tidak seharusnya berasa malu untuk tampil ke depan.

“Keputusan anda dalam sedar untuk berpesta dengan defendan ini...tidak memberikan mereka pas untuk merogol, menyerang atau melakukan hubungan seks dengan kamu sebaik sahaja kamu telah melepasi peringkat memberi keizinan,” jelas beliau. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia