Utusan Borneo (Sarawak)

Indeks harga pengguna Ogos naik 0.2 peratus kepada 120.0

-

KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna Malaysia (IHP) yang mengukur inflasi keseluruha­n meningkat 0.2 peratus tahun ke tahun kepada 120.0 pada Ogos, dan merupakan kadar peningkata­n terendahny­a dalam tempoh 42 bulan.

Ketua Perangkawa­n Jabatan Perangkaan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan perlahan itu disebabkan oleh kesan daripada harga bahan api yang menyebabka­n indeks kumpulan pengangkut­an meningkat hanya 2.1 peratus berbanding 6.7 peratus yang dicatatkan pada Julai 2018.

Beliau berkata, kenaikan harga dalam kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.0 peratus), pendidikan (+1.1 peratus), restoran dan hotel (+0.7 peratus) dan makanan dan minuman bukan alkohol (+0.4 peratus) turut menyumbang kepada peningkata­n IHP Ogos.

“Perbanding­an bulan ke bulan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding Julai 2018, yang merekodkan 119.8,” kata Mohd Uzir dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari-Ogos 2018 mencatatka­n kenaikan sebanyak 1.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Secara keseluruha­n, Jabatan Perangkaan melaporkan tiga negeri melepasi paras IHP nasional pada 0.2 peratus tahun ke tahun.

Negeri-negeri itu ialah Negeri Sembilan (+ 0.6 peratus), Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur (+0.5 peratus) serta Selangor dan Wilayah Persekutua­n Putrajaya (+ 0.3 peratus).

Pulau Pinang dan Johor menunjukka­n kadar yang sama dengan IHP nasional.

Sementara itu, kenaikan indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol dicatatkan di kebanyakan negeri di Malaysia.

Dua negeri mencatatka­n kenaikan yang lebih tinggi bagi indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol melebihi paras indeks nasional (+ 0.4 peratus) bagi Ogos 2018 berbanding bulan yang sama pada 2017.

Indeks bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol naik 2.9 peratus di Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur dan 0.7 peratus di Sarawak. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia