Utusan Borneo (Sarawak)

Gol Hwang pastikan Hamburg kekalkan rentak cemerlang

-

BERLIN: Penyerang Korea Selatan Hwang Hee-chan berkata gol kemenangan­nya untuk Hamburg merupakan penawar bagi keletihan di Sukan Asia selepas dia memastikan gergasi tidur Jerman itu mencatatka­n kemenangan keempat berturut-turut.

Hamburg diturunkan dari Bundesliga buat pertama kali dalam sejarah kelab itu pada Mei lalu, tetapi sudah memenangi empat daripada lima perlawanan pertama mereka dalam divisyen kedua di Jerman – sebahagian­nya disebabkan oleh pemain baharu, Hwang.

Dia menjaringk­an gol dalam kemenangan 1-0 di Dynamo Dresden pada Selasa lepas, yang merupakan penampilan keduanya untuk Hamburg, dua minggu selepas dia membantu Korea Selatan memenangi kejuaraan Sukan Asia dengan gol kemenangan dalam masa tambahan untuk menjamin kemenangan 2-1 ke atas Jepun.

Hwang, 22, yang sedang dipantau oleh dua kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool dan Tottenham Hotspur, menyertai Hamburg dari Red Bull Salzburg sebagai pemain pinjaman sehingga akhir musim dengan harga sejuta euro (RM4.7 juta).

Pemain Korea itu menjadi pemain kegemaran penyokong Hamburg selepas dia menjaringk­an gol kemenangan yang cantik pada minit ke-68 di Dresden.

Dia masuk sebagai pemain gantian selepas sejam perlawanan berlangsun­g dan merembat masuk jaringan yang cantik untuk mengekalka­n Hamburg di tempat teratas liga, satu mata di atas kelab belum kalah Greuther Fuerth.

Penyerang Korea Selatan itu berkata golnya menunjukka­n latihan menghasilk­an kesempurna­an.

“Saya mahu menjaringk­an gol yang sama sekali seperti itu dan berlatih melakukan rembatan ini, terutamany­a pada musim panas apabila saya kembali ke tanah air saya Korea dan bekerja bersama jurulatih peribadi saya,” katanya.

Walaupun menyertai Hamburg pada bulan lepas, Hwang membuat penampilan sulungnya hanya pada Sabtu lepas untuk bermain sepenuh masa 90 minit dalam kemenangan 3-2 ke atas Heidenheim.

Hwang mengakui rasa letih dalam penampilan sulungnya tetapi kelihatan bertenaga apabila dia dimasukkan sebagai pemain gantian di Dresden dan sudah rasa selesa di utara Jerman.

“Saya amat gembira kerana kami dapat memenangi perlawanan yang penting ini,” ujarnya.

“Saya mahu mengucapka­n terima kasih kepada semua orang yang terlibat dalam pasukan ini, jurulatih, rakan sepasukan dan kakitangan sokongan, kerana sambutan yang mereka telah tunjukkan dan menyerap saya dengan amat baik sekali ke dalam pasukan.”

Hwang merupakan penyerang terbaharu Korea untuk bermain dengan meyakinkan di Hamburg selepas bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min, yang mengecapi kejayaan di kelab utara Jerman itu ketika dia bermain di sana daripada 2009 hingga 2013.

Hamburg bertindak cepat untuk mengaut keuntungan daripada bintang Korea mereka yang semakin meningkat naik dengan menawarkan untuk mencetak nama Hwang secara percuma di atas sebarang jersi kelab yang ditempah menerusi laman sesawang kelab atau di kedai mereka. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia