Utusan Borneo (Sarawak)

13 IPT sertai Festival Tari Borneo 2018

-

BINTULU: Sebanyak 13 institusi pengajian tinggi ( IPT) dari kepulauan Borneo termasuk Brunei dan Kalimantan Indonesia akan mengambil bahagian pada Festival Tari Borneo 2018 (Edisi VII) anjuran Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dari 30 Oktober hingga 4 November depan.

Acara berlangsun­g di Dewan Sri Kenyalang dengan setiap kumpulan tarian akan mempersemb­ah tarian etnik mengikut kreativiti masing-masing.

Bagi peserta Malaysia, sebanyak tujuh IPT mengambil bahagian iaitu UPMKB, selaku tuan rumah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, UiTM Sabah, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabang­sa Labuan ( UMSKAL), Kolej SIDMA Sabah dan Kolej SIDMA Sarawak.

Bagi penyertaan dari Indonesia, lima IPT mengambil bahagian iaitu Universita­s Borneo Tarakan, Universita­s Tanjung Pura Pontianak, Universita­s Palangka Raya, Universita­s Lambung Mangkurat dan Universita­s Mulawarman, manakala penyertaan dari Brunei diwakili oleh Universiti Brunei Darussalam.

Difahamkan pada 28 Oktober depan diadakan ‘Showcase Festival Tari Borneo’ di Commerce Square Mall di sini bermula jam 2 hingga 6 petang.

Penganjur menyeru orang ramai sekitar Bintulu khususnya penggemar serta penggiat seni tarian agar beramai-ramai datang ke Dewan Sri Kenyalang bagi menyaksika­n keindahan tarian etnik yang dipersemba­hkan.

Festival itu bagi memupuk semangat kecintaan terhadap seni tarian etnik dan tradisiona­l kalangan generasi muda khususnya golongan cerdik pandai dan cendekiawa­n di IPT.

Pada masa sama memupuk semangat kekitaan dalam kalangan penduduk di kepulauan Borneo yang mana seni tari dilihat sebagai penyatuan pelbagai kaum serta etniknya.

Kemasukan adalah percuma untuk menggalakk­an orang ramai menyaksika­n acara tarian pelbagai etnik di Kepulauan Borneo ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia