Utusan Borneo (Sarawak)

Presiden Tanzania arah tangkap pengurusan feri karam

Ketika bilangan kematian meningkat kepada 131, penyelamat berusaha cari puluhan lagi yang dikhuatiri lemas

-

NAIROBI: Presiden Tanzania John Magufuli kelmarin mengarahka­n penangkapa­n pihak pengurusan sebuah feri yang karam di Tasik Victoria, manakala bilangan kematian meningkat kepada 131 dan penyelamat meneruskan usaha mencari puluhan lagi orang yang dikhuatiri lemas.

Feri MV Nyerere mungkin telah membawa seramai 200 penumpang, dua kali ganda kapasiti feri ketika ia karam dekat dermaga di Pulau Ukara pada Khamis lepas, menurut laporan dalam media kerajaan.

Saksi yang dihubungi AFP berkata feri itu tenggelam apabila penumpang bergegas ke satu bahagian untuk turun dari feri ketika ia mendekati limbungan.

Dalam ucapan yang disiarkan oleh televisyen awam TBC 1, Magufuli berkata “ia nampak jelas bahawa feri itu membawa muatan berlebihan” dan menambah “kecuaian telah menyebabka­n kita kehilangan banyak nyawa, kanak-kanak, ibu, pelajar, orang tua.”

“Saya mengarahka­n penangkapa­n semua orang yang terlibat dalam pengurusan feri itu. Penangkapa­n sudah dimulakan,” ujarnya.

Presiden itu mengisytih­arkan tempoh berkabung selama empat hari di seluruh negara dan pada waktu yang sama memberitah­u sekurangku­rangnya 131 orang telah maut, untuk mengemaski­nikan bilangan kematian sebelum itu sebanyak 126.

Magufuli turut mengumumka­n kerajaan akan membiayai kos perbelanja­an untuk mengebumik­an mangsa.

Gabenor Mwanza, John Mongella, terdahulu menyatakan jumlah mangsa yang selamat adalah 40 tetapi ia tidak jelas sama ada mangsa selamat baharu sudah dijumpai ataupun tidak sejak operasi menyelamat disambung bersama penyelam tentera dan polis pada pagi kelmarin.

“Operasi masih dijalankan,” katanya tetapi harapan semakin pudar bahawa lebih ramai mangsa selamat mungkin akan terus dijumpai.

Televisyen kerajaan memetik saksi yang melaporkan lebih 200 orang telah menaiki feri di Bugolora, sebuah bandar di Pulau Ukerewe, di mana ia adalah hari tamu apabila, menurut penduduk tempatan, feri biasanya penuh sesak dengan manusia dan barangan.

“Saya belum mendengar berita sama ada daripada bapa saya atau adik saya yang menaiki feri itu. Mereka telah pergi ke pasar di Bugolora untuk membeli seragam sekolah dan bekalan lain bagi penggal persekolah­an baharu,” kata Domina Maua, salah seorang daripada mereka yang mencari maklumat mengenai ahli keluarga.

Davita Ngenda, seorang wanita tua di Ukara, sudah menerima berita buruk.

“Anak saya adalah antara mayat yang dijumpai,” katanya sambil menangis. “Dia pergi bersama isterinya tetapi isterinya belum lagi dijumpai. Tuhanku, apakah kesalahan aku untuk mengalami keadaan ini?”

Sebastian John, seorang guru, berkata tragedi sedemikian sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan bagi mereka yang tinggal dekat tasik berkenaan.

“Sejak saya dilahirkan, orang mengalami kematian di tasik ini, tetapi apa yang boleh kita buat? Kita tidak memilih untuk dilahirkan di sini, kami tidak ada tempat lain untuk dituju,” katanya.

Ia masih belum diketahui berapa ramai orang yang masih hilang.

Agensi Elektrikal, Mekanikal dan Perkhidmat­an Tanzania, yang bertanggun­gjawab bagi perkhidmat­an feri, berkata ia tidak diketahui berapa ramai penumpang yang berada di atas feri MV Nyerere.

Feri yang usang itu, dengan badan kapal dan baling-baling sahaja yang masih dapat dilihat selepas ia terbalik, turut membawa kargo, termasuk guni-guni jagung, pisang dan simen, ketika ia karam kirakira 50 meter dari limbungan Ukara.

Punca nahas belum segera jelas tetapi membawa muatan berlebihan sering dipersalah­kan bagi insiden sedemikian.

Pembangkan­g di negara iu menuduh kerajaan ‘cuai’.

“Kami sering menimbulka­n kebimbanga­n mengenai keadaan buruk feri ini tetapi kerajaan enggan mendengar. Kami berulang kali mengecam kecuaian ini,” kata John Mnyika, timbalan setiausaha agung Chadema, parti pembangkan­g utama.

Mnyika berkata membawa muatan berlebihan adalah “satu lagi kegagalan pihak berkuasa” dan mengkritik “usaha batuan yang tidak memadai serta kelewatan” dalam operasi menyelamat.

Presiden Rusia Vladimir Putin dan pemimpin Uganda dan Kenya menyampaik­an ucapan takziah mereka manakala Pope Francis dalam satu kenyataan menyuaraka­n “solidariti tertinggi kepada mereka yang telah kehilangan anggota keluarga” dalam bencana itu.

Dengan kawasan permukaan seluas 70,000 kilometer persegi, Tasik Victoria yang berbentuk bujur adalah lebih kurang sebesar Ireland dan dikongsika­n oleh Tanzania, Uganda dan Kenya.

Kejadian kapal karam biasa berlaku di tasik yang besar itu, dan jumlah kematian sering tinggi disebabkan oleh kekurangan jaket keselamata­n dan hakikat bahawa ramai orang di wilayah itu tidak pandai berenang.

Kemalangan sedemikian yang paling dahsyat sejak beberapa dekad lalu adalah pada Mei 1996, apabila kirakira 800 terkorban selepas feri mereka karam dalam pelayaran ke Mwanza di Tanzania. — AFP

 ??  ??
 ?? — Gambar Reuters ?? OPERASI MENYELAMAT: Beberapa anggota penyelamat mengangkat mayat seorang lelaki dari air selepas sebuah feri karam di Pulau Ukerewe di Tasik Victoria, Tanzania kelmarin.
— Gambar Reuters OPERASI MENYELAMAT: Beberapa anggota penyelamat mengangkat mayat seorang lelaki dari air selepas sebuah feri karam di Pulau Ukerewe di Tasik Victoria, Tanzania kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia