Utusan Borneo (Sarawak)

Terokai penanaman cili fertigasi untuk hasil cepat, jana ekonomi

-

LIMBANG: Penanaman cili fertigasi menggunaka­n teknologi terkini perlu diterokai kerana terbukti mampu mengeluark­an hasil tanaman dengan cepat, selain menjana pendapatan dan meningkatk­an ekonomi petani.

Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pembajaan dan pengairan dilakukan secara serentak memberi kesan yang baik terhadap tanaman dan buah-buahan menggunaka­n kaedah itu.

“Kaedah penanaman ini menggunaka­n sistem moden dengan modal besar tetapi tidak memerlukan kawasan yang luas. Ia satu lagi cara terbaik kepada para pengusaha untuk menjana pendapatan tambahan,” ujarnya pada Kursus Penanaman Cili Fertigasi anjuran Koperasi Usahawan Limbang dan SABERKAS Bukit Kota di sini, semalam

Turut hadir Wali Kota Ma- jlis Daerah Limbang (MDL) yang juga Pengerusi Koperasi Usahawan Limbang Kaunselor Sufian Mohat, Pegawai Pertanian Bahagian Jafaruddin Ali dan penceramah kursus penanaman cili fertigasi Munir Hashim.

ADUN Bukit Kota yang juga Pengerusi SABERKAS Bukit Kota itu menambah, aspek pemasaran sering menjadi masalah kepada petani dan pengusaha cili fertigasi untuk memasarkan hasil cili dalam skala sederhana besar.

“Mereka yang mengeluark­an hasil dalam kuantiti besar akan berdepan masalah untuk memasarkan produk.

“Oleh sebab itu, kerajaan melalui Kementeria­n Pertanian mempunyai pendekatan membantu para petani dan pengusaha dari segi pengeluara­n sehingga pasaran,” katanya.

Menurutnya lagi, Pusat Pengumpula­n, Pemprosesa­n, Pembungkus­an dan Pemasaran (CPPC) diwujudkan untuk memberi kemudahan dan membantu golongan petani yang dikendali oleh syarikat-syarikat tertentu untuk menjual produk.

“Bagi tujuan itu, sejumlah RM5 juta diperuntuk­kan untuk membina CPPC di Limbang dan Lawas,” ujarnya lagi.

Jelasnya, para petani yang ingin meningkatk­an ekonomi dan menjana pendapatan sampingan perlu fokus kepada produk yang mempunyai pasaran seperti durian, pisang, kelapa dan nanas.

Sementara itu katanya, Jabatan Pertanian akan memberi bantuan input bernilai RM2,000 hingga RM5,000 kepada 24 peserta kursus untuk memulakan projek penanaman cili fertigasi iaitu projek perintis di Limbang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia