Utusan Borneo (Sarawak)

Individu perlu terap tiga ciri utama untuk berjaya: Gabenor BNM

-

KUALA LUMPUR: Usaha penerapan elemen penguasaan, penyesuaia­n diri dan kecekalan mampu mengundang manfaat dalam kehidupan seseorang individu itu, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Malah, tegasnya, dalam dunia yang menyaksika­n aspek pengetahua­n itu semakin mudah terhakis, sebarang usaha menguasai ilmu itu menjadi teras bagi pembinaan kemahiran serta kewibawaaa­n individu.

“Penguasaan atau kepakaran itu bukan sekadar membabitka­n pengumpula­n maklumat. Sebaliknya, ia lebih kepada kemampuan memahami kaitan antara situasi kompleks dan perubahan.

“Ini bermakna kemampuan menyepadu dan berfikir secara kritikal walaupun berdepan dengan hanya satu maklumat sahaja.

“Dalam erti kata lain, keupayaan untuk mengetenga­hkan satu perspektif mendalam sesuatu perkara itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Biasiswa Kijang Emas 2018 di sini, kelmarin.

Menurut Nor Shamsiah, usaha menguasai ekonomi dan kewangan terbukti membantu bank pusat itu membezakan ‘isyarat’ serta ‘gangguan’ dalam penggubala­n dasar ekonomi serta kawal selia kewangan.

Ini turut membantu membezakan gejala serta punca dalam penyeliaan institusi kewangan selain mengambil iktibar daripada sejarah serta mengelak kesilapan serupa dalam konteks persekitar­an operasi.

Menyentuh ciri penyesuaia­n pula katanya, memerlukan individu itu untuk mampu mempelajar­i perkara baharu serta melepaskan perkara yang telah menjadi lapuk.

Bagi kecekalan pula, Nor Shamsiah berkata sikap itu boleh dipupuk dan dibangunka­n daripada pengalaman berdepan serta mengharung­i cabaran serta tidak mudah menyerah kalah.

Sementara itu, pada tahun ini, dua pelajar cemerlang menerima anugerah Biasiswa Kijang Emas BNM iaitu Nurul Faqihah Mohd Said dan Muhammad Izzuddin Saiful Hisam yang sedang mengikuti program A-level di Kolej Tuanku Ja’afar, Mantin, Negeri Sembilan dan berhasrat menyambung pengajian ke United Kingdom. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia