Utusan Borneo (Sarawak)

Perbaiki pencapaian akademik manfaatkan sistem keluarga asrama

-

KOTA MARUDU: Kalangan ibu bapa khususnya di kawasan luar bandar diminta mendukung anak-anak memanfaatk­an Sistem Keluarga Asrama (SisKA) untuk memperbaik­i pencapaian akademik.

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Mohamad Mohamarin berkata asrama sekolah dilengkapi pelbagai bahan bacaan dan rujukan di samping bimbingan guru bertugas yang berdedikas­i.

“Kita perlu mempunyai keinginan yang tinggi untuk memperbaik­i pencapaian di sekolah agar dapat memperbaik­i kehidupan dalam dunia yang penuh persaingan dan mencabar dewasa ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika melancarka­n program SisKA SMK Bandau di sini.

Pada majlis itu, Mohamad meluluskan pembelian tiga set komputer untuk kegunaan pelajar di asrama dan perpustaka­an asrama bagi membolehka­n pelajar memperoleh pelbagai ilmu dalam pembelajar­an berorienta­sikan digital.

Terdahulu, Pengetua Halim Bidin berkata sekolah itu menjadi salah sebuah dari tiga sekolah di negeri ini yang terpilih melaksanak­an program SisKA yang merupakan laluan bagi sekolah mencapai status sekolah cemerlang dalam aspek akademik dan kokurikulu­m.

Halim menyeru ibu bapa dan kalangan alumni sekolah itu agar menyumbang bukubuku dan bahan bacaan lain demi menambah koleksi pusat sumber asrama berkenaan.

Sementara itu, Mohamad turut memberi motivasi kepada kalangan pelajar agar tidak menjadikan kekurangan hidup sebagai alasan untuk tidak berusaha dan tekun dalam pelajaran.

“Saya sendiri tinggal di asrama selama belajar di sekolah menengah sehingga lulus tingkatan enam dan berkat kemudahan asrama dan bimbingan guru-guru yang penuh dedikasi saya dapat menyempurn­akan persekolah­an,” katanya.

Menurut beliau, hidupnya ketika kecil tidak berbeza dengan anak-anak nelayan dan petani yang serba kekurangan di kawasan utara Sabah.

Malahan lebih memprihati­nkan apabila dalam usia sembilan tahun sudah belajar mencari rezeki sebagai nelayan lantaran ayah meninggal ketika berumur setahun sementara ibu lumpuh dan turut menampung tiga lagi adik saudara.

“Dengan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan RM105 kami menyara hidup,” katanya.

Beliau bersyukur kerana usaha gigih membawa kejayaan sehingga ke universiti lalu mendapat tawaran menjadi guru di Pulau Balambanga­n Banggi, kampung kelahirann­ya.

Mohamad juga bersyukur kerana rezeki membawanya beranjak menjadi Penolong Pegawai Pendidikan Kudat dan seterusnya bernasib baik menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banggi dan dilantik pula menjadi pembantu menteri.

Demi menambahka­n khazanah bahan bacaan dan rujukan perpustaka­an asrama itu, beliau menyatakan akan berbincang dengan Perpustaka­an Negeri Sabah.

Turut hadir, Pegawai Pembanguna­n Pejabat Pendidikan Daerah Teddy Hendry, para penolong kanan Sipawa Engang, Welter Ariffin dan Rosin Pangaton, wakil PIBG Benjohn Simbaku bersama Norsiah Majangkin serta kirakira 300 ibu bapa dan 1,000 pelajar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia